Berita Utama

Sultan Nazrin akan umum MB Perak baharu

Zahid yakin calon daripada UMNO dapat sokongan majoriti

IPOH, 22 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah akan mengumumkan sendiri siapa calon Menteri Besar baharu, kata Presiden UMNO.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengumuman berkenaan hanya akan dikeluarkan oleh pihak istana selepas ini.

“Alhamdulillah saya diperkenankan Sultan Nazrin untuk menghadap dan mempersembahkan surat memohon untuk berkenan bagi mempertimbangkan calon Menteri Besar Perak.

“Saya menjunjung titah Tuanku yang hak mencalonkan itu hak UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetapi hak untuk mengumumkan calon itu adalah hak mutlak Tuanku dan istana akan memaklumkannya,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid yakin calon Menteri Besar daripada UMNO, mendapat perkenan Sultan Nazrin dan memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Majoriti Insya-Allah, saya sangat yakin majoriti sokongan itu lebih daripada mencukupi.

“Saya menyatakan seboleh mungkin kita mempertahankan kesepakatan PN, ertinya kerjasama pembentukan kerajaan ini adalah antara UMNO, BERSATU dan PAS,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Jawatan Menteri Besar Perak kini kosong selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan Sabtu lepas, setelah gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti Ahli Dewan terhadap Menteri Besar semasa Persidangan DUN sehari sebelumnya.

Menerusi usul yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baharu), Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya memperoleh 10 sokongan berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali.

DUN Perak merangkumi 25 BN, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button