Berita Utama

Umat Islam disyor terima vaksin COVID-19 diperakui WHO

Kaedah lebih berkesan selamatkan nyawa, tak bersumberkan haiwan

ALOR SETAR, 22 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Umat Islam disyor menerima vaksin COVID-19 diperakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.

Beliau berkata, kaedah itu lebih berkesan untuk menyelamatkan nyawa selain bukan bersumberkan gelatin haiwan.

“Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas bersama mufti baru-baru ini, kita mendengar penjelasan daripada wakil Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kandungan vaksin COVID-19.

“Mereka menerangkan vaksin yang akan kita terima bukan daripada sumber gelatin binatang.

“Jadi pegawai KKM menyatakan keyakinannya vaksin COVID-19 adalah halal daripada unsur lain,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Syeikh Fadzil berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai golongan tertentu yang ragu-ragu mengenai penggunaan vaksin COVID-19.

Beliau menegaskan, Islam sangat menitik beratkan penjagaan diri dan nyawa dengan setakat ini, kaedah penggunaan vaksin lebih berkesan.

Justeru, umat Islam tidak dapat mengelak menggunakan vaksin COVID-19 demi menjaga diri dan nyawa.

Ketika ini, Malaysia telah menandatangani dua perjanjian yang memberi jaminan menerima bekalan vaksin sebanyak 30 peratus daripada jumlah populasi negara.

Bagaimanapun, Malaysia meletakkan sasaran 70 peratus daripada keseluruhan populasi bagi pembentukan imuniti kelompok di bawah Pelan Imunisasi Kebangsaan bagi penyakit COVID-19 pada 2021.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pada semalam berkata, perjanjian pertama adalah bersama COVAX Facility melalui Optional Purchase Arrangement ditandatangani pada 23 November lalu yang menjamin bekalan vaksin sebanyak 10 peratus populasi negara.

“Manakala perjanjian kedua pula adalah perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseutikal Pfizer dimeterai pada 24 November bagi mendapatkan bekalan vaksin sebanyak 20 peratus daripada populasi negara (12.8 juta dos),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button