Berita Utama

19 warga China diberkas di pusat panggilan judi dalam talian

3 serbuan dijalan hasil maklumat awam di Setapak, Jalan Tun Razak

KUALA LUMPUR, 23 Rabiulaakhir 1442H, Rabu – Polis menahan 19 warga china termasuk seorang wanita yang disyaki terbabit dalam sindiket perjudian dalam talian menerusi serbuan berasingan ke atas beberapa unit kondominium di Setapak dan Jalan Tun Razak bermula 4 hingga 7 Disember lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Rajab Ahad Ismail berkata tiga serbuan dijalankan hasil maklumat awam mengenai perjudian dalam talian di kawasan terbabit.

“Suspek berusia antara 21 dan 30 tahun. Dalam serbuan itu, polis turut merampas 15 komputer riba, 49 telefon bimbit serta lain-lain peralatan elektronik yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati modus operandi sindiket itu ialah mempromosikan perjudian dalam talian kepada pasaran antarabangsa di China menggunakan aplikasi mudah alih seperti Wechat, WhatsApp dan QQChat.

“Anggota sindiket akan menghantar ratusan pesanan kepada pelanggan di China dan mereka dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu,” katanya.

Menurut Rajab Ahad, unit kondominium yang dijadikan pusat operasi mereka disewa pada kadar RM1,500 hingga RM5,000 sebulan dan pusat panggilan itu beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam setiap hari.

Kesemua suspek direman selama 14 hari sejak semalam bagi membantu siasatan menurut Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button