Berita Utama

Semua diminta akur, jangan lagi polemik isu tulisan Jawi

Pelaksanaan dapat semai patriotism, kekal identiti negara

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 23 Rabiulaakhir 1442H, Rabu – Semua pihak khususnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) perlu akur dengan keputusaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang meneruskan pembelajaran tulisan Jawi pada tahun hadapan.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan menegaskan, bahawa pelaksanaan tulisan itu bukan satu proses Islamisasi sebaliknya ia adalah pembelajaran tulisan asal bahasa Melayu.

Disamping itu katanya, pelaksanaan membolehkan seni khat yang juga elemen tulisan Jawi dapat diperkenalkan secara lebih meluas.

“Langkah ini dapat menyemai semangat patriotism dan mengekalkan identiti negara seperti yang terdapat dalam Jata Negara, Rukun Negara dan wang kertas.

“Oleh itu, mana-mana pihak digesa untuk tidak lagi mempolemik atau mempolitikkan isu ini,” katanya seperti dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di SJK dan Sekolah Kebangsaan (SK) pada 2021 diteruskan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 14 Ogos tahun lalu yang memutuskan supaya pengenalan tulisan Jawi tetap diteruskan di SJK dan SK.

“Inilah keputusan dibuat Jemaah Menteri dan pada dasarnya kita mengikut arahan diputuskan oleh Jemaah Menteri.

“Elemen pengukuhan Jawi dalam kalangan murid dilaksanakan melalui aktiviti pengayaan seperti membina modul pemulihan Jawi dengan lebih mudah dan menarik untuk murid yang kurang menguasai Jawi,” katanya

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button