Berita UtamaDunia

365 pelajar terjemah 400 artikel ke bahasa Arab di Wikipedia

Matlamat projek seimbang kandungan material digital di Arab Saudi

JEDDAH, 23 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Kandungan bahasa Arab dan Islam di ensiklopedia dalam talian global dipromosikan oleh ratusan pelajar wanita dari Universiti Arab Saudi menggunakan kemahiran masing-masing.

Setakat ini, hampir 400 artikel telah diterjemahkan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Arab oleh 365 pelajar dari Fakulti Bahasa Universiti King Khalid, dan terjemahannya itu digunakan di platform Wikipedia.

Inisiatif itu menjadi sebahagian projek Wiki Dawwin yang diterima pakai Yayasan Penyelidikan dan Arkib Raja Abdul Aziz (DARAH) yang diwakili pusatnya untuk kandungan digital.

Projek itu diselia oleh ahli fakulti menerusi kursus jarak jauh yang ditawarkan oleh pusat penyelidikan berkenaan kepada pelajar wanita dan artikel terjemahan diterbitkan selepas disunting dan diluluskan untuk penggunaan Wikipedia.

Sementara itu, Dekan Kolej Sains Sosial Universiti Islam, Imam Muhammad bin Saud dan Penasihat Projek Wiki Dawwin, Dr Zuhair Al-Shehri berkata, projek itu dilaksanakan bagi memperkasakan kandungan bahasa Arab di dalam Wikipedia.

Katanya, antara kandungan artikel yang diterjemahkan adalah berkaitan menyoroti sejarah dan peradaban kerajaan Arab dan dunia Islam.

“Matlamat projek ini adalah mengimbangi jurang pengguna internet Arab Saudi dan peratusan kandungan digital, penerbitan material digital mengenai sejarah kerajaan dan menjadi akar umbi bahan terbitan bagi menyokong kandungan bahasa Arab dalam pelbagai bidang, terutama bidang pendidikan dan budaya,” katanya.

Selain itu, usaha sama dijalinkan dengan universiti dan badan budaya dan pelancongan dengan sebahagian program latihan memperkasa digital telah dilancarkan.

Al-Shehri turut mengakui terdapat kekurangan kandungan bahasa Arab yang boleh diguna pakai dalam pelbagai bidang terutama berkaitan dengan sejarah dan peradaban.

“Sebagai contoh, kita mendapati di setiap wilayah Arab Saudi, keseimbangan dan kekayaan warisan budaya kuno, mercu tanda, pengalaman dan pelbagai pekembangan dalam semua bidang yang perlu disunting dan diperkayakan dalam ensiklopedia ini,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button