Berita Utama

4 dituduh bunuh Dr Wan Hassan

9 Mac tahun depan sebutan semula kes

KUALA LUMPUR, 23 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Dr Wan Hassan Wan Embong dalam kejadian samun di kediamannya, dua minggu lepas.

Pengawal keselamatan, S. Vickeswaran, 22, penghantar surat P. Kogilan dan penganggur M. Ravindran masing-masing berumur 23 tahun serta juruelektrik, T. Sugu, 27, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Wan Hassan, 73, di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya di sini, antara 3.35 pagi dan 4 pagi, 29 November lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar sementara kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Wong menetapkan 9 Mac tahun depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa maut akibat ditetak dalam kejadian samun di rumahnya, manakala isterinya, Sarifah Yusof, 70, cedera akibat ditetak dengan parang di tangan kanan.

Mangsa dipercayai cuba melawan dengan dua lelaki tidak bertopeng yang memecah masuk melalui tingkap bahagian dapur banglo dua tingkat itu.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen di sini, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang dan tukul besi ke atas jurutera Mohd Muzaffar Zulkifli Martin, 33, membabitkan kerugian kira-kira RM38,000, pada hari sama (29 November).

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Tiara Titiwangsa, Setapak di sini, antara 4.12 pagi dan 5.30 pagi, mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan tidak menawarkan jaminan dan Hakim Izralizam Sanusi memerintahkan kesemua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin serta menetapkan 9 Mac tahun depan untuk sebutan semula kes.

Sejurus prosiding berakhir, ibu Sugu dilihat meraung di luar mahkamah sambil ditenangkan oleh isteri tertuduh dan beberapa orang awam. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button