Berita Utama

Bimbang karier terjejas antara punca penjawat awam takut lapor rasuah

Usah gentar lapor salah laku rasuah kerana ia jejas integriti penjawat awam

KUALA LUMPUR, 23 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Penjawat awam mengalami beberapa tekanan mengakibatkan mereka takut melaporkan aktiviti rasuah yang berlaku dalam jabatan atau agensi kerajaan kepada pihak atasan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tekanan berkenaan termasuk halangan kenaikan pangkat, pertukaran dan gangguan dalam jadual pekerjaan, sekali gus menggugat karier mereka.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, tekanan itu turut menjadi punca laporan kes rasuah dalam kalangan penjawat awam rendah.

“Ada dalam kalangan ketua perkhidmatan akan memberi tekanan kepada penjawat awam antaranya membabitkan kenaikan pangkat, kesusahan dalam bentuk jadual kerja, skop tugas dan pertukaran menyusahkan.

“Perkara-perkara inilah yang berlaku menyebabkan ramai penjawat awam enggan melaporkan kesalahan rasuah berikutan kesukaran yang akan dialami mereka pada masa hadapan,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan hanya 0.01 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam berani tampil melaporkan perbuatan rasuah dalam jabatan dan agensi masing-masing.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, angka itu masih rendah dalam usaha sifar rasuah perkhidmatan awam dapat direalisasikan.

Shamshun Baharin berkata, walaupun insentif disediakan kepada penjawat awam melaporkan kes rasuah, data suruhanjaya itu menunjukkan hanya 343 penjawat awam tampil memberi maklumat antara 2012 hingga tahun lepas.

Mengulas lanjut, Adnan mengingatkan penjawat awam untuk tidak gentar melaporkan salah laku rasuah kerana kegiatan itu menjejaskan keseluruhan integriti kumpulan penjawat awam.

“Pelbagai cara boleh dilakukan untuk melaporkan kesalahan rasuah antaranya melakukan laporan kepada Suruhanjaya Integriti Penguatkuasa yang akan menyiasat setiap laporan itu secara telus,” katanya.

Jelasnya, salah laku rasuah dalam kalangan penjawat awam adalah rendah dan terpencil kerana hanya membabitkan 0.15 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam seluruh negara.

“Hakikat sebenar jumlah penjawat awam tidak menerima rasuah adalah lebih ramai daripada mereka mengambil rasuah. Yang baik dan berintegriti lebih ramai daripada yang tidak baik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button