Berita Utama

COVID-19: 959 kes baharu hari ini

Berlaku 5 kematian, kes aktif dengan kebolehjangkitan 10,748

PUTRAJAYA, 23 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Sebanyak 959 kes baharu COVID-19 dan lima kematian direkodkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula mencatat 10,748, manakala bilangan kes pulih adalah 1,068 menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 65,124.

Beliau berkata daripada 959 kes hari ini, sebanyak 953 adalah penularan dalam negara manakala bakinya kes import.

“Selangor melaporkan kes harian tertinggi dengan 277 kes (28.9 peratus), diikuti Sabah sebanyak 203 kes (21.2 peratus) dan Kuala Lumpur 129 kes (13.5 peratus),” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 27 kes (2.8 peratus) pula adalah berkaitan kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok di Kedah (23 kes) dan Kluster Penjara Seberang Perai (4 kes).

Selain itu, Pahang mencatat 119 kes diikuti Johor (100); Negeri Sembilan (33); Perak (33); Pulau Pinang (29); Kelantan (17); Kedah (16); Melaka (dua) dan Labuan (satu).

Sehingga kini, terdapat 127 kes COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 61 kes memerlukan bantuan pernafasan, dan jumlah kumulatif kematian dalam negara adalah 393 kes.

Memperincikan kes kematian melibatkan lima lelaki warga emas, Dr Noor Hisham berkata kes kematian itu adalah individu berumur 75 tahun yang mempunyai sejarah penyakit gout dan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.

“Selain itu, kematian melibatkan masing-masing dua di Sabah, seorang berumur 61 tahun dan mempunyai sejarah penyakit darah tinggi yang mendapat rawatan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan, manakala seorang lagi berumur 82 tahun di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu,” katanya.

Dua lagi kematian adalah di Johor membabitkan individu berumur 60 tahun yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, dislipidemia dan strok, manakala seorang lagi berumur 68 tahun dengan penyakit kencing manis, buah pinggang kronik dan bronkiektasis.

Kedua-duanya meninggal dunia di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, kata Dr Noor Hisham. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button