Berita UtamaIstimewa

Dong Jiao Zong terlalu rakus minta institusikan vernakular seperti sekolah kebangsaan

Sangat tak masuk akal, agenda mereka tak selari dengan aspirasi nasional

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 29 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Seperti tidak berkesudahan, Dong Jiao Zong sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila menggesa kerajaan menginstitusikan sekolah vernakular seperti sekolah kebangsaan.

Gesaan itu dipercayai disuarakan selepas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan kerja-kerja pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Too Joon Hing dihentikan.

Dong Zong dan Jiao Zong mendakwa, kejadian itu berpunca daripada sikap kerajaan yang masih belum menginstitusikan peruntukan bagi pembinaan sekolah vernakular mengikut keperluan penduduk sesebuah kawasan, terutama penambahan dan pembinaan SJKC yang menghadapi banyak halangan.

Justeru, dalam usaha membina dan menambah bilangan SJKC, pendirian serta prinsip Dong Jiao Zong ialah kerajaan mesti menginstitusikan pembinaan SJKC dan membina bilangan SJKC yang secukupnya mengikut keperluan struktur penduduk dan keperluan sebenar sesebuah kawasan.

“Kami bertegas bahawa kerajaan mesti menginstitusikan sekolah vernakular sama seperti SK dan SJKC adalah salah satu daripadanya, selain itu kerajaan mesti menanggung semua kos yang melibatkan pembinaan dan tanah,” dakwanya.

Bagaimanapun, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong menyifatkan hasrat itu bukan sahaja rakus bahkan tidak masuk akal memandangkan sekolah vernakular – walaupun diberi nama sekolah jenis kebangsaan – bukan sekolah rasmi dalam sistem pendidikan negara, seperti sekolah kebangsaan yang diiktiraf sepenuhnya.

Menurut Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti kebangsaan Malaysia itu, sekolah vernakular tidak rasmi sepenuhnya kerana tidak menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, seperti yang diperuntuk pada Bahagian 17 Akta Pendidikan 1996.

Oleh itu tegasnya, sekolah vernakular tidak layak untuk memohon disamakan taraf dengan sekolah kebangsaan sebagai sekolah rasmi negara.

“Ini bukan sahaja amat tidak masuk akal, ia sebenarnya sangat tidak selari dengan aspirasi nasional, khususnya identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat, yang dipersetuju bersama oleh etnik Melayu-Cina-India semasa mencapai kemerdekaan dahulu, untuk mengangkat simbol dan proses sosiobudaya Melayu.

“Sehubungan ini, ada keperluan untuk pihak yang meminta ini ‘diinstitusikan’ terlebih dahulu agar betul-betul memahami aspirasi negara.

“Ini kerana jelas kelihatan mereka ini langsung tiada keupayaan berfikir secara rasional dalam hal ini dan banyak ehwal kenegaraan lain sebab selama ini, mereka ini didapati selalu berfikir secara tidak rasional dalam semua hal,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Pada masa sama, Kok Seong yakin gesaan Dong Jiao Zong itu antara lain mahu menjadikan sekolah vernakular sebahagian yang sah, yakni rasmi sepenuhnya dalam sistem pendidikan negara seperti yang berlaku pada sekolah kebangsaan, dengan mewujudkan dasar tertentu seperti menyamakan kedua-dua sekolah tersebut.

“Ini terbukti dalam kes ini apabila mereka seolah-olah mahu taraf jenis kebangsaan disamakan dengan taraf kebangsaan, justeru ikut memperoleh peruntukan dan manfaat sama. Sebenarnya dua perbezaan ini yang memang langsung tidak sama, hendaklah bukan sahaja diketahui, lebih penting lagi difahami.

“Perlu ada kesedaran, malah keinsafan bahawa tidak boleh ada sikap yang mahu untung pada sepanjang masa, iaitu mahu belajar dalam aliran tidak rasmi, yang sememangnya telah sedia dimaklumi hakikatnya, dan mahu pula ianya dianggap rasmi pada masa sama.

“Sesungguhnya sikap inilah yang selalu dilihat banyak pihak sebagai kerakusan yang tidak habis-habis daripada etnik Cina,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button