Berita Utama

Grand coalition: Rakyat mahu pemimpin ikhlas bukan taksub parti, kuasa

Gabungan besar perlu pembaharuan politik yang kuat: Presiden BERJASA

BANGI, 23 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Rakyat mahukan kerja-kerja ikhlas daripada pemimpin, bukannya sikap taksub kepartian dan kuasa, kata Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA).

Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata demikian sebagai mengulas cadangan ‘grand coalition’ yang dikemukakan Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa, baru-baru ini.

Sebelum ini, Annuar berkata, negara memerlukan sebuah gabungan politik besar atau ‘grand coalition’ dengan 12 atau lebih parti yang sealiran.

Annuar membayangkan gabungan itu membabitkan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan, Muda termasuk BERJASA.

Menyambut baik cadangan itu, Dr Badhrulhisham berkata, sesuatu gabungan besar memerlukan pembaharuan politik yang kuat, di mana tiada lagi ketaksuban kepada kepartian.

“Apa yang disebut (dicadangkan) itu, saya rasa memang patut dilakukan tetapi melalui pengalaman lepas, BERJASA, Gagasan Sejahtera dan gabungan-gabungan lain, saya rasa keikhlasan di atas kertas dan pelaksanaannya itu yang penting.

“Pembaharuan politik perlu dilakukan untuk menangani situasi yang berlaku pada hari ini supaya hala tuju ke landasan sebenar dalam perjuangan dapat ditegakkan,” katanya dalam temu bual bersama TV Pertiwi, hari ini.

Malah, beliau berkata, antara anasir yang merosakkan perjuangan umat Islam adalah penguatkuasaan kapitalis dan ‘warlord’ sesetengah pemimpin sendiri.

Maka, tegas beliau, sekiranya wujud gabungan besar, isu berkaitan kuota parti atau perebutan kuasa Perdana Menteri dan Menteri Besar tidak ada.

“Itu bukan formula terbaik malah menimbulkan masalah sejak beberapa tahun yang lepas di bawah PH dan PN.

“Kita kata grand coalition, kita panggil semua pihak sebab kita mungkin terdesak perlu sokongan. Tiba-tiba bila bincang, pembahagian kerusi dah dibuat, apa maknanya kat situ?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button