Berita Utama

Usul undi percaya PM wajar jika pembangkang yakin SD cukup

Satu bentuk formalisasi di Parlimen sahkan PM ada sokongan majoriti

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 27 Jamadilakhir 1445H, Selasa – Pembentangan undi percaya terhadap Perdana Menteri wajar dibuat sekiranya pembangkang yakin mempunyai jumlah akuan bersumpah (SD) yang mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Campuran.

Penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpandangan, langkah yang selaras dengan amalan sistem Westminster di United Kingdom (UK) itu boleh dibuat di Dewan Rakyat sebagai satu bentuk formalisasi di Parlimen bahawa Perdana Menteri dilantik mendapat sokongan majoriti.

Bahkan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pernah menitahkan supaya undi percaya dilakukan selepas lantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan, katanya.

“Tetapi, oleh kerana telah ditandatangani MoU dengan pihak pembangkang ketika itu, pembentangan undi percaya tidak perlu dilakukan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pembangkang yang mempunyai jumlah SD mencukupi dan menunggu masa untuk kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) ditumbangkan.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa PN sudah mempunyai jumlah SD yang mencukupi untuk menumbangkan kerajaan.

Bagaimanapun Menteri Besar Kedah itu tidak memaklumkan secara terperinci termasuk mengenai jumlah SD yang diperoleh sebaliknya menunggu hari untuk ambil alih kerajaan.

Mengulas lanjut, Prof Nik Ahmad Kamal berkata, pembangkang masih boleh membentangkan jumlah itu di hadapan Yang di-Pertuan Agong untuk baginda menentukan hala tuju SD berkenaan.

“Sama ada ia akan membawa kepada situasi ketika Langkah Sheraton, bergantung sama baginda Yang di-Pertuan Agong bersetuju untuk meneruskan proses pertukaran kerajaan.

“Kalau rujuk kepada situasi selepas Perdana Menteri meletak jawatan hasil daripada Langkah Sheraton, selepas serahan SD baginda Yang di-Pertuan Agong akan memanggil setiap Ahli Parlimen untuk menyatakan pendirian mereka.

“Selepas itu, baru baginda Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan untuk melantik PM yang baru,” katanya.

Pautan terdahulu;

https://ismaweb.net/2024/01/07/sd-sudah-cukup-sanusi/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button