Berita UtamaIstimewa

Kes kebun haram: Tangguh lagi, kerajaan Pahang tak serius!

Mana mungkin pencerobohan berpuluh tahun tanpa ada ‘tangan’ lindung

BANGI, 23 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Penangguhan sekali lagi keputusan permohonan pendengaran kes semakan kehakiman yang difailkan pekebun haram Raub hari ini, menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri tidak serius dalam kes itu.

Sepatutnya Mahkamah Tinggi Kuantan mengumumkan keputusan itu hari ini, namun ditangguhkan lagi pada 23 Disember depan berikutan terdapat afidavit baharu dikemukakan pihak plaintif.

Penangguhan diputuskan oleh Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz bagi memberi laluan kepada kedua-dua pihak responden yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Noor Fadzila Ishak dan plaintif yang diwakili peguam, Siew Choon Jern dan Brendan Siva.

Kecewa dengan keputusan itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, penangguhan berkenaan sekali gus memberikan kebebasan kepada penceroboh.

Ia juga bermakna notis pengosongan tanah yang dikeluarkan beberapa bulan lalu masih tergantung sehingga keputusan pada 23 Disember nanti, katanya.

“Bagi saya, perkembangan ini menggambarkan kepada seolah-olah kerajaan negeri Pahang tidak serius dalam kes ini di mana sepatutnya peguam-peguam yang lebih berpengalaman dan berwibawa diketengahkan oleh pihak kerajaan.

“Jika penangguhan ini adalah strategi untuk melemahkan kami, maka itu adalah satu kesilapan kerana ini adalah gelombang rakyat. Ingat, semakin ditekan semakin itulah rakyat akan bangun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) bersama wakil badan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk Pemuda ISMA hadir ke Mahkamah Tinggi Kuantan untuk mendengar keputusan kes pencerobohan tanah di Raub, Pahang.

PEMBELA – yang terdiri daripada 300 NGO – antara yang lantang memperjuangkan isu pencerobohan tanah di negeri Pahang, termasuk di daerah Rompin dan Kuala Lipis.

Sebelum ini, satu memorandum bantahan telah diserahkan PEMBELA kepada Pejabat Menteri Besar Pahang, Jabatan Perhutanan Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang.

Serentak itu, Aminuddin sekali lagi menuntut pihak SPRM meneruskan siasatan jika terdapat sebarang salah laku dalam kes itu.

“Kita menuntut agar SPRM meneruskan siasatan jika terdapat sebarang salah laku walau apapun keputusannya nanti, kerana mana mungkin pencerobohan ini dapat dilakukan puluhan tahun tanpa ada tangan-tangan yang ‘melindungi’ penceroboh-penceroboh ini.

“Kita tunggu dan lihat apa yang terjadi 23 Disember 2020 ini pula nanti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button