Berita Utama

Matlamat PEMBELA gerakkan penyatuan Melayu, Islam

Jangan musnahkan kesepakatan hanya kerana tamak, gila kuasa

BANGI, 23 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Kejayaan Himpunan Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) – Himpunan 812 – pada 2018 boleh dianggap sebagai satu kebangkitan luar biasa.

Sebagai penganjur bersama dan salah seorang pemidato yang berceramah di atas pentas ketika himpunan itu, Naib Pengerusi PEMBELA, Ustaz Masridzi Sat berpuas hati kerana menyaksikan lautan manusia berwarna putih membanjiri ibu negara.

“Kita berharap agar detik-detik bersejarah penyatuan umat terbesar pada Himpunan 812 di negara kita ini akan terus menjadi contoh kepada perpaduan Melayu Islam.

“Ia berjaya berhimpun merentasi kumpulan dan ideologi politik demi agama, bangsa dan tanah air.

“Janganlah kita punahkannya dengan perpecahan kerana sifat tamak, gila kuasa dan khianat sesama sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, matlamat PEMBELA adalah menggerakkan penyatuan dan kekuatan Melayu dan umat Islam untuk kepentingan agama, bangsa dan tanah air dalam menentang ancaman musuh.

Pada 8 Disember 2018, Himpunan 812 yang berjaya mengumpulkan lebih 600,000 peserta berjalan dengan aman dan teratur – mencapai objektif utama untuk menghentikan sebarang ratifikasi konvensyen dan triti antarabangsa yang ingin ditandatangani kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Himpunan 812 menjadi titik tolak bermulanya sebuah lembaran baru kepada kesatuan NGO-NGO Melayu Islam yang langsung menebas laluan kepada penyatuan dua parti terbesar Melayu Islam iaitu PAS dan UMNO melalui platform penyatuan ummah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button