SPRM nafi tohmahan ugut individu, adu kes kepada polis
Jamin tak lindung mana-mana pihak jika dakwaan benar dilakukan pegawai

BANGI, 23 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan tohmahan dibuat seorang individu yang mendakwa kononnya menerima ugutan dalam siasatan kes berhubung Macau Scam, baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM berkata, pengurusan tertingginya memandang serius tohmahan yang dibuat individu terbabit.
“Individu berkenaan telah membuat laporan polis berhubung perkara itu selepas dua bulan dilepaskan daripada tahanan reman SPRM.
“Salinan laporan tersebut pula telah ditularkan oleh pihak tertentu sekali gus mencemarkan namaa baik SPRM,” kata suruhanjaya itu.
Sehubungan itu, satu aduan rasmi telah dibuat SPRM kepada pihak polis hari ini bagi menafikan tohmahan individu terbabit dan menggesa siasatan dijalankan terhadap laporan palsu tersebut.
“SPRM tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya dakwaan tersebut benar dilakukan oleh pegawai SPRM, namun sekiranya laporan tersebut palsu maka individu tersebut perlu dibawa ke muka pengadilan,” katanya.