Berita UtamaDunia

Universiti Oxford, AstraZeneca terbit keputusan akhir ujian vaksin COVID-19

Vaksin sudah capai 70 peratus tahap keberkesanan

PARIS, 23 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Universiti Oxford dan AstraZeneca antara pembuat vaksin COVID-19 pertama menerbitkan keputusan akhir percubaan klinikal dalam jurnal saintifik, semalam.

Keputusan akhir itu menyelesaikan rintangan utama dalam perlumbaan global menghasilkan ubat selamat serta berkesan bagi memerangi pandemik COVID-19.

Penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Lancet itu mengesahkan vaksin berkenaan mencapai 70 peratus keberkesanan.

Ia sekaligus memberi harapan positif terhadap penghasilan penawar virus yang telah membunuh 1.5 juta penduduk dunia.

Semalam, Britain menjadi negara pertama di Barat memulakan program imunisasi menggunakan vaksin dibangunkan Pfizer-BioNTechc, selepas penggunaannya diluluskan minggu lalu.

Sementara itu, Pengarah Kumpulan Vaksin Oxford, Andrew Pollard berkata, penerbitan dalam jurnal perubatan Lancet menunjukkan pihaknya berkongsi data secara telus.

Katanya, sejumlah vaksin memerlukan tempoh enam bulan dalam keadaan pandemik sekarang.

“Ini tidak boleh menjadi persaingan antara pembuat vaksin, tetapi sebaliknya perlumbaan bagi menentang virus berkenaan,” katanya.

Melalui kajian itu, vaksin berkenaan mempunyai keberkesanan 62 peratus jika diberi dua dos sekali gus, manakala 90 peratus kepada yang diberi separuh dan kemudiannya dos penuh.

Sejak bulan lalu, AstraZeneca dan Oxford berdepan persoalan mengenai analisis terhadap 23,000 individu dalam ujian percubaan berasingan dengan protocol berbeza, selepas pihaknya mengeluarkan gambaran keseluruhan hasil penyelidikan mereka.

Hal ini berikutan terdapat kesilapan kepada kumpulan lebih kecil yang diberikan separuh dos awal.

Kajian semalam pula mengesahkan kumpulan 1,367 peserta itu tidak termasuk golongan dewasa berusia lebih 55 tahun.

AstraZeneca berkata, ia adalah bergantung kepada badan pengawal selia untuk membuat keputusan berdasarkan data adakah pesakit COVID-19 memerlukan dua dos penuh atau separuh dos dan diikuti dengan dos penuh. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button