Berita Utama

15 keluarga Orang Asli ‘lari’ ke hutan takut dijangkiti COVID-19

Bimbang selepas dapat tahu seorang guru agama disyaki positif virus

JOHOR BAHRU, 24 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Sekumpulan masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Simpang Arang di Iskandar Puteri didapati ‘melarikan diri’ dari kampung mereka sendiri sejak dua hari lepas, gara-gara khuatir dijangkiti COVID-19.

Kumpulan 15 keluarga itu bertindak demikian kerana bimbang dijangkiti COVID-19, setelah mendapat tahu mengenai seorang guru agama di kampung mereka disyaki positif virus berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (JPKD) Kota Iskandar, Pandak Ahmad berkata, pihaknya mendapat tahu mengenai perkara itu semalam, dan telah meninjau keadaan mereka di kawasan hutan berhampiran yang dijadikan penempatan mereka.

“Kita dapati kira-kira 40 orang termasuk kanak-kanak dan bayi melibatkan 15 keluarga itu telah berpindah ke kawasan hutan bakau berhampiran kerana bimbang dijangkiti virus COVID-19.

“Kita telah beritahu mereka individu (guru agama) itu telahpun menjalani saringan dan keputusannya disahkan negatif. Jadi, kita dalam usaha untuk memujuk mereka supaya kembali ke kampung,” katanya kepada Bernama.

Menurut Pandak, pihaknya bersama penghulu mukim dan Tok Batin sekali lagi membuat lawatan dan tinjauan ke kawasan berkenaan hari ini dan mendapati kawasan hutan yang menjadi tempat tinggal mereka tidak selamat terutama kepada kanak-kanak serta bayi.

“Selain itu, faktor cuaca dan tempat tinggal yang mereka dirikan sekadar khemah sementara dan bangsal tinggal itu juga didapati tidak sesuai dan selamat untuk diduduki,” katanya.

Pandak berharap masyarakat Orang Asli yang terlibat akan segera berpindah semula ke kampung mereka.

Difahamkan, terdapat lebih 800 orang yang mendiami kira-kira 180 rumah di Kampung Orang Asli Simpang Arang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button