Berita Utama

Fatwa vaksin COVID-19: Kerajaan masih tunggu perkenan Agong

Keputusan fatwa telah dipersembahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja

PUTRAJAYA, 24 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Kerajaan masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja berhubung fatwa penggunaan vaksin COVID-19 dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas mengenai fatwa vaksin COVID-19 itu telah dipersembahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas mesyuarat muzakarah berkenaan minggu lepas.

“Selepas mendapat perkenan dan persetujuan, kita akan uar-uarkan sebab fatwa ini bukan untuk disembunyikan. Kita ikut tertib-tertibnya,” katanya selepas menyampaikan 80 pek bantuan sumbangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kepada penghantar makanan, pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan, di sini hari ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas itu bersidang pada 3 Disember lepas bagi membincangkan isu berkenaan sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja.

Pada majlis hari ini, Zulkifli turut melancarkan Bilik Gerakan Bencana Banjir Yadim yang diwujudkan bagi menyelaras usaha membantu mangsa yang terjejas akibat bencana itu.

Dalam ucapannya, beliau meminta Yadim untuk memohon bantuan sebanyak RM500,000 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) di bawah bantuan asnaf sebagai tambahan kepada peruntukan sedia ada.

Zulkifli juga berkata, walaupun usaha membantu mangsa banjir diselaraskan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), namun inisiatif Yadim dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain dapat membantu kerajaan menggerakkan penyampaian bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Saya juga mahu kolaborasi dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang arif mengenai banjir. Kalau boleh kita belajar daripada pengalaman mereka,” katanya. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button