Berita Utama

I-Medik gesa majlis keramaian, perhimpunan skala besar terus ditangguh

Negara masih lagi catat kes positif harian tinggi, termasuk pesakit ICU

BANGI, 24 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Perhimpunan sosial dalam skala yang sederhana dan besar amat tidak digalakkan sepanjang fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). 

Ia berikutan, perhimpunan sebegitu dihadiri oleh individu dari pelbagai kawasan termasuk dari daerah atau negeri yang dikategorikan zon merah, kata Timbalan Presiden Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Msia (i-Medik), Profesor Dr Azizi Ayob. 

Zon merah adalah kategori yang dikhaskan kepada kawasan yang dikenalpasti mempunyai kes positif COVID-19 lebih daripada 40 orang.

Prof Azizi yang dihubungi Ismaweb.net berkata demikian bagi mengulas peringatan serta kebimbangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini terhadap trend peningkatan kluster yang terbentuk daripada perhimpunan sosial kerana tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Dr Noor Hisham memberi contoh Kluster Enggor di Perak serta Kluster Indah Mas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Kuala Lumpur) dan Selangor yang bermula dengan perhimpunan keluarga dan seterusnya merebak dalam komuniti.

Selain itu, Kluster Inai dan Kluster Jambul di Sabah adalah antara kluster yang berpunca daripada majlis keraian, manakala Kluster Mentari yang membabitkan Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur bermula daripada upacara keagamaan yang membabitkan ahli keluarga serta kenalan yang hadir dalam satu upacara kematian di Nilai, Negeri Sembilan.

Memahami kebimbangan itu, Prof Azizi menegaskan, setiap individu memainkan peranan yang amat penting untuk memutuskan rantaian jangkitan pandemik itu.

Katanya, negara masih lagi mencatatkan kes positif harian yang tinggi termasuklah pesakit yang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan sebahagian dari mereka juga tenat.

“Sewajarnya, pandemik COVID-19 ini telah mengajar semua pihak untuk berdisiplin dalam semua keadaan apatah lagi apabila kes positif dan aktif masih berada dalam komuniti. Pengenalpastian kes juga mengambil masa dan tenaga yang signifikan. 

“Justeru, setiap individu dan komuniti sangat wajar ambil peranan pro-aktif kaedah pencegahan seperti ‘penjarakan sosial’, elak berkumpul ramai dalam keadaan sesak, bersentuhan dan lain-lain lagi, terutama mereka yang berisiko tinggi akan senang untuk dijangkiti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button