Berita Utama

Isu usul undi percaya dibangkit di Dewan Rakyat hari ini

Tiga lagi kementerian dijangka menggulung perbahasan

KUALA LUMPUR, 24 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Isu berhubung usul undi tidak percaya dan undi percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin antara yang dijangka dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) meminta perdana menteri menyatakan bilakah 25 usul undi tidak percaya dan dua usul undi percaya akan dibentang, dibahas dan diundi di Dewan Rakyat pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.

Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) pula meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan strategi jangka pendek kementerian bagi memastikan aktiviti pelancongan domestik dapat dioptimumkan semula susulan kebenaran rentas negeri dan daerah oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pada sesi soal jawab lisan, Wong Shu Qi (PH-Kluang) membangkitkan persoalan sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atau cukai kekayaan untuk meningkatkan pendapatan kerajaan.

Sementara itu, sesi perbahasan dan penggulungan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa diteruskan dengan tiga lagi kementerian dijangka menggulung perbahasan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button