Berita Utama

Jangan aniaya rakyat hanya kerana dipengaruhi politik jumud

Tiga kali tukar MB cerminan kegagalan pemimpin politik: Sultan Nazrin

KUALA KANGSAR, 24 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Pelantikan Menteri Besar Perak sebanyak tiga kali sejak sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, bukan perkara yang perlu dibanggakan kerana ia tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah Muizzuddin Shah bertitah, situasi ini sekali gus mencatatkan sejarah baharu yang tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.

“Sejak PRU ke-14, sudah tiga kali istiadat pelantikan Menteri Besar dilakukan. Tetapi perkara ini bukanlah sejarah yang mahu dibanggakan.

“Perkara yang berlaku akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan.

“Kegagalan kepemimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan pemimpin jangan sesekali menganiaya rakyat hanya kerana dipengaruhi emosi dendam dan pemikiran politik yang jumud.

“Jangan dijadikan kancil yang mati tersepit kerana gajah yang tidak berhenti-henti beradu.

“Rakyat dalam semua kawasan Dewan Negeri, sama ada diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) mahukan negeri yang aman lagi makmur dengan pemerintahan yang melaksanakan keadilan dan membina kerukunan,” titah baginda.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar ke-14 di hadapan Sultan Nazrin.

Pelantikan Saarani adalah susulan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga ADUN Chenderiang pada 5 Disember lalu, selepas beliau gagal mendapat sokongan menerusi usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar’ sehari sebelum itu.

Menerusi usul itu yang dibawa oleh Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jumaat lalu, Ahmad Faizal hanya mendapat 10 undi sokongan berbanding 48 menentang manakala satu berkecuali.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button