Berita UtamaIstimewa

Jangan politikkan isu tulisan Jawi di sekolah vernakular!

Rakyat nanti tindakan berani kerajaan hapus sekolah vernakular

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 24 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Semua pihak termasuk – pihak yang membantah pembelajaran tulisan Jawi sebelum ini – harus akur tulisan berkenaan akan tetap diteruskan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) pada 2021.

Ahli Jawatankuasa Pusat gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat berharap isu pembelajaran tulisan Jawi ini tidak dipolitikkan kerana jelas ia sekadar tulisan dan bukan menyentuh mengenai agama.

“Jangan ada pihak yang berani lagi untuk membangkang. Terima dan akur kerana keputusan ini baik untuk semua.

“Selama ini isu ini hanya disensasikan apabila kelompok ultra kiasu dalam pendidikan Cina menolak Jawi daripada diajar di SJK.

“Walhal, belajar tulisan Jawi ini sama seperti belajar tulisan khat atau tulisan yang lain, tidak ada yang pelik pun,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya memberitahu, berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 14 Ogos tahun lalu yang memutuskan supaya pengenalan tulisan Jawi tetap diteruskan di SJK dan SK.

Katanya, asas pengajaran tulisan Jawi kerana ia adalah sebahagian daripada seni, warisan dan sejarah yang perlu dihargai dan diperkayakan.

“Sebenarnya (pengajaran) tulisan Jawi bukan seperti yang dimomokkan sesetengah pihak, kita bukan mengajar menulis dan membaca atau mengajar 30 huruf dalam ‘Alif, ba, ta’. Ini sekadar proses pengecaman,” katanya.

Menyambut baik keputusan itu, Ustaz Shuhaib berkata, rakyat juga menantikan keputusan yang lebih berani daripada pihak kerajaan untuk menghapuskan aliran sekolah vernakular yang terbukti membelakangkan dan mengetepikan dasar pendidikan kebangsaan.

“Negara yang berdaulat tidak boleh mempunyai dua aliran pendidikan bagi rakyatnya.

“Ini akan menimbulkan pelbagai masalah terutama soal kesetiaan kepada negara pada masa depan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button