Berita Utama

Kajian tunjukkan 22.2 peratus pesakit diabetes dijangkiti COVID-19 kritikal

Syor pemantauan kendiri di rumah, pantau aras glukosa dalam darah

BANGI, 24 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Banyak laporan menunjukkan wabak COVID-19 dan diabetes berkait rapat antara satu sama lain, meskipun tiada bukti kukuh menunjukkan sama ada pesakit diabetes lebih rentan terhadap pandemik itu atau lebih terdedah kepada keadaan hiperglisemia.

Dr Sharifah Sakinah Syed Alwi berkata, pesakit diabetes juga pernah dikategorikan dalam golongan berisiko tinggi ketika perebakan wabak pandemik Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), Sindrom Respiratori Asia Barat (MERS) dan influenza H1N1.

Berdasarkan beberapa hasil kajian penyelidikan luar negara, peratusan pesakit diabetes dijangkiti COVID-19 adalah antara 10.1 peratus hingga 20 peratus, manakala 22.2 peratus pesakit diabetes dijangkiti COVID-19 adalah kritikal, jelas Dr Sahrifah yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bioperubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Ini secara tidak langsung menunjukkan jangkitan virus ini boleh membawa kepada komplikasi lebih serius terhadap pesakit diabetes.

“Walaupun tiada bukti saintifik konklusif bagaimana jangkitan virus berlaku dalam kalangan pesakit diabetes, Enzim Penukaran Angiotensin 2 (ACE 2) dikenal pasti bertanggungjawab menyebabkan kerentanan terhadap jangkitan COVID-19 dalam pesakit sedia lemah ini,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Sharifah Sakinah berkata, melalui kajian virus SARS berkaitan diabetes dijalankan, resesptor ACE 2 dikenal pasti sebagai reseptor pengikat virus.

Beliau berkata, ekspresi ACE 2 meningkatkan pengikatan selular virus SARS pada sel perumah dan menyebabkan kerentanan tinggi terhadap inflamasi dalam pesakit diabetes.

Tambahnya, kawalan glisemik (hipoglisemia atau hiperglisemia) yang lemah dalam pesakit turut mengakibatkan kemerosotan beberapa aspek respon imun termasuk perubahan dalam respon imun sel T serta pengaktifan makrofaj.

Akibatnya, respon imun badan menjadi lemah dan risiko jangkitan sekunder seperti virus dan bakteria meningkat, katanya.

Katanya, kehadiran komplikasi khas penyakit diabetes seperti kegagalan fungsi jantung dan buah pinggang meningkatkan lagi risiko jangkitan COVID-19.

“Tiada rawatan spesifik dan efektif bagi membantu golongan diabetes dijangkiti virus ini. Adalah penting pesakit diabetes mempraktikkan pengurusan rawatan diabetes yang baik.

“Ini termasuk mengamalkan gaya pemakanan sihat, menjalankan aktiviti fizikal serta pengambilan ubat-ubatan mengikut preskripsi doktor perubatan,”

“Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyarankan pesakit diabetes menjalankan pemantauan kendiri di rumah bagi memantau aras glukosa dalam darah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button