Berita Utama

Sekolah kerajaan biaya, tapi ‘lembaga’ SJKC lebih berkuasa?

‘Yang haram boleh jadi halal, apabila ada campur tangan politik‘

BANGI, 16 Ramadan 1443H, Isnin – Sudah sampai masanya kerajaan membuat kajian menyeluruh mengenai sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) seluruh negara yang berjumlah lebih 1,300.

Pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, walaupun SJKC adalah sekolah dibiayai kerajaan sepenuhnya, jelas dilihat Lembaga Pengurus Sekolah (LPS) dan PIBG mereka yang lebih berkuasa.

Beliau berkata, seringkali dasar dan peraturan yang ditetapkan kerajaan tidak dipatuhi pihak SJKC, namun permintaan serta desakan mereka sering bertalu.

“Itulah wajah sebenar Dong Zong dan Jiao Zong. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, apa erti nama sebuah kerajaan yang berdaulat dan berligitimasi, jika NGO yang bernama pertubuhan bukan kerajaan jauh lebih berkuasa. 

“NGO hanya kumpulan pendesak, tidak berdaulat, tidak ada ligitimasi, dan keputusan langsung tidak mengikat. 

“Takkan kerana terlalu kemarukkan undi, kita sanggup gadaikan keputusan kerajaan yang berdaulat itu,” katanya dalam artikel yang disiarkan di Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian seiring mengulas punca Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Chee, Segambut tidak mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan (KPM) kerana tidak memenuhi syarat pematuhan tatacara pembinaan institusi pendidikan kerajaan.

Bukan itu sahaja, KPM pula didesak pihak sekolah tersebut supaya menerima pembinaan haram itu. 

Mujurlah KPM masih tegas. Begitulah lunaknya KPM berurusan dengan persatuan yang tidak bertamadun ini, walaupun SJKC tersebut tidak mematuhi arahan.

Katakan diluluskan, ditakdirkan jika berlaku sesuatu tidak diingini, pada masa akan datang dari aspek perundangan, termasuk kehilangan nyawa, pasti yang akan dipertangungjawabkan adalah kerajaan, bukan persatuan.

“Saya amat yakin selepas ini MCA akan campur tangan. Pemimpin mereka akan pergi melawat tapak, selepas itu semua selesai. Begitulah cara kita menyelesaikan masalah. Yang haram boleh jadi halal, apabila ada campur tangan politik,” katanya.

Prof Ridhuan Tee berharap kerajaan bertegas dan tidak tunduk kepada tekanan ultra kiasu yang langsung tidak menghormati undang-undang.

Pada masa sama, beliau menggesa kerajaan menghentikan pembiayaan kepada SJKC jika mereka mahu buat sesuka hatinya.

“Kaduk sudah lama naik junjung. Junjung pun hampir dan sudah ada yang patah, kenapa masih terus dibiarkan,” katanya.

PAUTAN ARTIKEL:

Henti biayai SJKC tidak patuh dasar

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button