Berita UtamaDunia

Kanada setuju guna vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech

20 juta vaksin dipesan, 249,000 dos diterima pada Disember

OTTAWA, 24 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Kanada meluluskan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech pada Rabu, beberapa hari selepas Britain menjadi negara pertama memberi lampu hijau dan melancarkannya.

Perdana Menteri, Justin Trudeau dalam ciapannya di laman Twitter berkata, meskipun pengumuman itu satu berita baik, namun beliau mengingatkan bahawa ia tidak bermakna kesihatan perlu dijaga secara sambil lewa dalam mengekang penularan wabak COVID-19.

Tambahan pula, katanya, gelombang kedua wabak itu memaksa beberapa wilayah memperkenalkan semula sekatan.

Sementara itu, Ketua Penasihat Perubatan Kerajaan, Supriya Sharma berkata, kebenaran suntikan vaksin itu ‘menandakan detik penting dalam usaha untuk mengendalikan COVID-19’.

Katanya, vaksin tambahan akan tersedia dan dilancarkan sepanjang 2021, dengan tiga calon vaksin lain -termasuk satu yang dibangunkan oleh Moderna yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), yang mungkin dihantar akhir bulan ini – kini sedang dinilai oleh pihak berkuasa kesihatan.

Beliau berkata, penyediaan vaksin itu akan memberi peluang kepada setiap rakyat Kanada untuk diimunisasi.

Jabatan kesihatan negara itu, Health Canada berkata, vaksin Pfizer-BioNTech telah menjalani penilaian pantas ketika masih dalam ujian klinikal, yang menyimpulkan bahawa ia memenuhi ‘syarat keselamatan, keberkesanan dan kualiti yang ketat untuk digunakan di Kanada’.

Pengarah Biro Sains Perubatan Kesihatan Kanada, Marc Berthiaume berkata, penilaiannya mendapati ‘bukti kuat bahawa manfaat vaksin melebihi risiko’.

Bagaimanapun, pengawal selia menasihatkan bahawa buat masa ini ia hanya boleh digunakan pada orang yang berumur 16 tahun ke atas.

Kanada telah membuat pesanan awal 20 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech ketika masih dalam pembangunan dengan pilihan untuk 56 juta dos tambahan.

Trudeau Isnin lalu berkata, sebanyak 249,000 dos akan diterima pada bulan Disember. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button