Berita Utama

PM patut sekat eksport, bukan import lagi telur dari luar

Dasar kerajaan tak selesai masalah, hanya untungkan orang tengah

BANGI, 27 Jamadilawal 1444H, Khamis – Langkah kerajaan mengimport telur ke Malaysia bagi menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan bukanlah penyelesaian tuntas untuk menstabilkan bekalan.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengambil langkah berani dengan menyekat pengeluaran telur yang dihasilkan di negara ini daripada dieksport ke luar.

Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan berkata, langkah import eksport yang dilaksanakan dalam dasar kerajaan hanya memberi keuntungan kepada pihak tertentu dan masih belum menjamin menstabilkan bekalan serta mengawal harga barang.

“Kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim kata dia berani, berani yang pertama ialah menyekat daripada telur-telur yang dihasilkan dalam negara dieksport ke luar.

“Itu tindakan pertama nak kata berani. Berani menyekat sebarang eksport ke luar negara, bukannya berani mengubah dasar tetapi sebagai solusinya ialah import telur ke dalam negara,” katanya.

Selasa lalu, Anwar mengumumkan langkah kerajaan untuk mengimport sekurang-kurangnya dua hingga 10 juta biji telur sehari mulai Khamis bagi menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan.

“Kemasukan pertama pada 15 Disember melibatkan sehingga 100,000 biji telur dan mulai 22 Disember, pengimportan di antara 2 juta hingga 10 juta biji telur sehari akan dilaksanakan sehingga bekalan menjadi stabil,” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, langkah itu hanyalah mewujudkan syarikat-syarikat baharu yang sengaja ditubuhkan untuk mendapat keuntungan daripada import.

“Daripada kita gunakan kos untuk import telur dari luar, baik kita bayar syarikat sedia ada supaya mereka tak eksport telur ke luar negara, atau tambah subsidi ke apa.

“Sepatutnya kita boleh menghasilkan telur dengan produk kita sendiri untuk keluaran kita sendiri, kegunaan kita dan yang beli pun kita.

“Perkara itu yang patutnya dilihat, bukan fokus import telur dari luar dan akhirnya orang-orang tengah dapat keuntungan daripada import eksport ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button