Berita Utama

Kes denggi di Melaka meningkat

43 kes Chikungunya juga dilaporkan di negeri itu tahun ini

MELAKA, 24 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Kes denggi di Melaka meningkat 34.85 peratus atau 2,720 kes dari Januari hingga 5 Disember, berbanding 2,017 kes pada tempoh yang sama tahun lalu.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, 16 kes denggi baru dilaporkan minggu ini sahaja.

Katanya, lapan kes denggi maut juga direkodkan – empat di Melaka Tengah dan masing-masing dua di Alor Gajah dan Jasin.

“Kawasan Bukit Katil mencatat jumlah kes denggi tertinggi (305), diikuti oleh Ayer Keroh (270) dan Paya Rumput (232).

“Selain itu, 43 kes Chikungunya juga dilaporkan di negeri ini tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Tey Kok Kiew (DAP-Banda Hilir) berkaitan jumlah kes denggi yang berlaku di negeri ini pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga DUN Melaka Ke-14, di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

Rahmad berkata, projek perintis teknik serangga steril (SIT) di Kota Laksamana telah memberikan hasil yang positif, kerana tidak ada satu pun kes denggi yang dilaporkan di daerah ini.

Pada tahun 2019, kerajaan Melaka membebaskan 16,000 nyamuk jantan SIT, bertujuan untuk menghapuskan populasi spesies Aedes Aegypti dengan mengawan dengan nyamuk betina.

SIT adalah kaedah kawalan serangga perosak yang mesra alam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button