Berita Utama

Kluster makin bertambah, Dr Noor Hisham rayu orang ramai patuh SOP

Kluster Enggor, Kluster Indah Mas bermula dengan perhimpunan keluarga dan telah merebak dalam komuniti

BANGI, 24 Rabiulawal 1442H, Khamis – Rakyat dinasihatkan supaya mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) ketika menghadiri sebarang jenis perhimpunan dan ketika berada di tempat awam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu penting berikutan semakin banyak kluster terbentuk daripada perhimpunan sosial yang tidak mengikut SOP kebelakangan ini.

“Ini termasuk perhimpunan besar-besaran melibatkan kaum keluarga, majlis keraian dan upacara keagamaan.

“Perhimpunan-perhimpunan ini telah turut dihadiri oleh individu-individu yang bergejala,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.

Memberi contoh Kluster Enggor di Perak serta Kluster Indah Mas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, Dr Noor Hisham berkata, ia bermula dengan perhimpunan keluarga dan seterusnya telah merebak dalam komuniti.

Selain itu, katanya, Kluster Inai dan Kluster Jambul di Sabah adalah antara kluster yang berpunca daripada majlis keraian.

“Kluster Mentari yang melibatkan Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula berpunca daripada upacara keagamaan membabitkan ahli keluarga serta kenalan yang hadir dalam satu upacara kematian di Nilai, Negeri Sembilan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, meskipun penjarakan fizikal sukar diamalkan di kawasan sesak dan sempit, masyarakat juga dinasihatkan untuk akur dan patuh kepada nasihat yang diberikan dengan mengambil iktibar daripada kejadian kluster-kluster terbabit.

Beliau berkata, ini bagi mengurangkan risiko jangkitan di dalam komuniti.

“Orang ramai diminta supaya mematuhi SOP dalam semua keadaan dan di semua tempat memandangkan aktiviti perhimpunan yang dianjurkan tanpa pematuhan akan meningkatkan risiko penularan COVID-19 kepada orang ramai.

“Adalah amat penting bagi kita sentiasa berwaspada dan berusaha melindungi diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat di sekeliling kita daripada mendapat jangkitan COVID-19,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button