Berita Utama

PEMBELA gesa Agong campur tangan kes ceroboh tanah Pahang

Seronoklah penceroboh kerana masih kebal, bebas dengan perbuatan mereka

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 24 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Penangguhan keputusan kes pencerobohan tanah haram di Raub – yang sepatutnya semalam 9 Disember, kemudian ditangguh kepada 23 Disember -menimbulkan persoalan negatif kepada rakyat. 

Ia sekali gus memberi persepsi bahawa undang-undang berkaitan pencerobohan tanah seolah-olah hanya berguna untuk menyekat golongan peribumi Melayu yang miskin sahaja, tetapi berbeza apabila berdepan dengan penceroboh bangsa lain yang kaya, berpengaruh dan dinaungi kartel yang besar. 

Naib Pengerusi PEMBELA, Ustaz Masridzi Sat mempersoalkan bagaimana penghujahan yang telah tamat perbicaraan 28 Oktober 2020, dan keputusannya dimaklum pada 9 Disember, boleh pula terhalang sehingga ditunda ke tarikh baharu.

“Maka berseronoklah para penceroboh kerana berasa kebal dan bebas daripada perbuatan yang dilakukan oleh mereka selama ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Kesal dengan perkara itu, beliau menggesa pendakwa raya dari Jabatan Peguam Negara lebih bertegas dengan tidak mempamerkan kelemahan seperti kegagalan penguat kuasa yang mengawal penceroboh tanah sebelum ini.

“Kita minta pihak kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan, tolonglah jangan terus bersikap lunak melayani kumpulan penceroboh ini. Tolong bertanggungjawab dengan kecuaian dan kegagalan mengawal penceroboh tanah di Raub dan seluruh negeri Pahang selama ini.

“Bertanggungjawablah, mengakui kelemahan yang wujud dan memperbaiki segera kelemahan yang ada,” katanya.

Begitu juga dengan pemimpin kerajaan negeri, penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Perhutanan dan lain-lain, beliau merayu supaya mereka tidak terus berdiam diri.

“Anda semua akan disoal dan mendapat balasan jika terus menolong, bersubahat bersikap lunak atau membiarkan kes pencerobohan ini.

“Janganlah biarkan rakyat peribumi termasuk veteran pasukan keselamatan, NGO-NGO Islam, alim ulama dan sebagainya berasa terhina dan dihina di tanah air mereka sendiri akibat daripada kes begini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, kes pencerobohan tanah di Raub ini bukan sahaja menjadi penanda aras kepada usaha kerajaan negeri bagi mendapatkan semula tanah yang diceroboh di seluruh negeri Pahang, tetapi kes ini juga sedang diperhatikan dan diikuti oleh negeri-negeri lain.

“Jika berikan contoh dan keputusan yang baik, maka baiklah hasilnya, tetapi jika diberikan contoh tindakan yang buruk dan keputusan yang gagal, maka buruklah hasil dan akibatnya nanti,” tegasnya.

Berharap kes ini dapat diselesaikan dan berpihak kepada yang benar, Ustaz Masridzi turut memohon Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dapat mencemar duli memainkan peranan dalam menegakkan keadilan supaya pelaku kesalahan jenayah ini diambil tindakan segera.

“Kami merafak sembah menjunjung kasih kepada Tuanku Yang Di-Pertuan Agong dan Baginda Tuanku Sultan Pahang Darul Makmur untuk mencemar duli campur tangan menyelesaikan kemelut pencerobohan tanah kerajaan di bumi Pahang ini.

“…. dan sudi mendengar luahan dan rintihan kami rakyat marhaen yang bimbang, kecewa dan berasa sedih dengan pencerobohan tanah ini,” katanya.

Mahkamah Tinggi semalam menangguhkan keputusan permohonan pendengaran kes semakan kehakiman yang difailkan 111 pekebun haram durian Raub bagi mengetepikan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang terhadap mereka pada 23 Disember ini.

Sebelum ini, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak memaklumkan, kerajaan Pahang kerugian RM30 juta hasil cukai tanah dalam isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram di Raub.

Beliau berkata, nilai kerugian itu berdasarkan kadar terendah pajakan dan cukai tanah untuk tempoh 10 tahun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button