Berita Utama

Solat Jumaat di 3 daerah Selangor dibenarkan

Hanya penceramah dari zon hijau dibenarkan untuk dijemput

BANGI, 24 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Pelaksanaan solat Jumaat dan fardu lima waktu adalah dibenarkan di semua masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau di keseluruhan daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

Kebenaran itu membabitkan 130 buah masjid, 21 Surau Kebenaran Jumaat dan 453 surau, mengikut kapasiti sebenar ruang solat dengan penjarakan 1.5 meter.

“Bagi program pengimarahan seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah Dhuha dan bacaan Yasin juga turut dibenarkan dengan syarat penceramah yang dijemput adalah dari zon hijau sahaja.

“Kebenaran kehadiran jemaah solat Jumaat dan solat lima waktu adalah untuk jemaah warganegara sahaja,” kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu kenyataan, hari ini. 

Bagaimanapun, ketetapan baharu ini tidak termasuk mukim Kuala Selangor yang melibatkan 1 masjid, 2 Surau Kebenaran Jumaat dan 2 surau berikutan perkembangan terkini penularan di mukim tersebut.

JAIS berkata, arahan khusus telah dikeluarkan oleh jabatannya kepada Pejabat Agama Islam Daerah yang terlibat untuk dikuatkuasakan serta merta.

“Besar harapan JAIS agar seluruh umat Islam di negeri Selangor meningkatkan disiplin, kawalan kendiri, bersabar dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh JAIS, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengekang penularan wabak COVID-19. 

“Langkah-langkah penguatkuasaan SOP yang tegas oleh pentadbir masjid, surau, langkah pencegahan kawalan kendiri, doa, zikir dan munajat yang diamalkan pasti akan membantu mempercepat ketetapan yang sama dapat dikuatkuasakan di seluruh negeri Selangor,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor dilanjutkan lagi kecuali daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor yang akan kembali ke Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button