Berita Utama

Tak timbul isu PM hilang kepercayaan

25 usul undi tidak percaya, 2 usul undi percaya bukan sesuatu yang perlu disegerakan

KUALA LUMPUR, 24 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Tidak timbul langsung isu yang menggambarkan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang kepercayaan atau sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan.

Berikutan itu, beliau berkata, 25 usul undi tidak percaya dan dua usul undi percaya yang disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat mengikut Peraturan Mesyuarat 26(1) dan 27(3), bukanlah merupakan sesuatu usul yang perlu disegerakan.

“Saya suka menjelaskan bahawa kita tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 14 dan 15. Peraturan Mesyuarat 15(1) dengan jelas menyatakan urusan kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain memandangkan tidak ada langsung bentuk yang menggambarkan Yang Berhormat Pagoh hilang kepercayaan.

“Kerajaan berpandangan usul-usul ini merupakan satu usul yang melibatkan sesuatu yang tertentu dan kepentingan orang ramai, saya percaya dewan menganggap itu bukan satu perkara yang perlu disegerakan. Oleh sebab itu, usul-usul ini kekal di dalam Aturan Urusan Mesyuarat tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 14 dan 15,” katanya.

Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu bila 25 usul undi tidak percaya dan dua usul undi percaya akan dibentang, dibahas dan diundi pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, tiada halangan kepada mana-mana pihak untuk menunjukkan sokongan kepada mana-mana individu dalam kalangan ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata, kerajaan terbuka dan akur sekiranya ada mana-mana Ahli Parlimen yang boleh mengemukakan akuan bersumpah kepada Yang di-Pertuan Agong kerana menganggap ia sebagai satu proses demokrasi di negara ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button