Berita Utama

Kadar pengangguran dijangka sekitar 4.3 peratus tahun ini

Ia berikutan penurunan eksport sejak beberapa bulan lepas

KUALA LUMPUR, 25 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – MIDF Research menjangkakan kadar pengangguran Malaysia pada 2020 mencecah sekitar 4.3 peratus daripada 3.3 peratus tahun lepas berikutan penurunan eksport sejak beberapa bulan lepas yang berpotensi menjejaskan prospek pekerjaan dalam sektor perdagangan.

Dalam nota penyelidikannya, ia menyifatkan lonjakan kes jangkitan COVID-19 dalam pasaran eksport seperti Eropah, Amerika Syarikat dan United Kingdom juga boleh menjejaskan unjuran perdagangan serta rancangan pengambilan pekerja berikutnya dalam suku semasa.

Malah, pemulihan pasaran tenaga kerja juga dijangkakan turut memakan masa untuk kembali mencecah paras sebelum berlakunya pandemik tersebut.

“Sejajar dengan pemulihan ekonomi yang berterusan, kami melihat aktiviti pembukaan semula ekonomi dan peningkatan permintaan tenaga kerja yang menyebabkan penurunan kadar pengangguran berbanding paras tinggi pada Mei, 2020.

“Bagaimanapun, kemunculan semula kes jangkitan COVID-19 dan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga awal Disember 2020 hanya terarah kepada pemulihan pasaran kerja yang lebih perlahan. Pada masa sama, kami juga menjangkakan permintaan tenaga kerja bagi sektor perkhidmatan, khususnya perhotelan dan restoran akan susut semula,” katanya.

Jabatan Perangkaan hari ini mengumumkan bahawa kadar pengangguran meningkat sedikit kepada 4.7 peratus pada Oktober 2020 berbanding paras tinggi 5.3 peratus pada Mei 2020.

Kadar pengangguran semasa kekal meningkat berbanding tempoh sebelum pandemik (Februari 2020 : 3.3 peratus) berikutan masih banyak syarikat yang belum beroperasi pada kapasiti sepenuhnya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button