Berita Utama

Amaran! Jika masih rebut kuasa di Perak, ADUN dikira derhaka titah sultan

Bila nak fokus bangun negeri jika ahli politik sibuk berebut kuasa?

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 25 Rabiulakhir 1442H, Jumaat  Pelantikan Menteri Besar baharu daripada kalangan UMNO belum menjamin kestabilan kerajaan negeri Perak yang masih diibaratkan seperti telur di hujung tanduk.

Bahkan, tidak mustahil kemelut politik seumpama ini berulang dan kerajaan negeri kembali bertukar tangan, kata Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ir Muhammad Lukman Al Hakim Mohammad.

Justeru, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah Muizzuddin Shah yang secara terang meluahkan kekecewaan terhadap kerakusan ahli politik berebut kuasa di negeri berkenaan adalah tepat pada masa, katanya.

“Amaran lebih keras perlu diberikan kepada setiap ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan sebarang tindakan tidak bertanggungjawab selepas ini hendaklah dikira sebagai menderhaka kepada titah sultan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas titah Sultan Nazrin yang menyifatkan pelantikan kali ketiga jawatan Menteri Besar sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bukan perkara dibanggakan kerana tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan.

Baginda bertitah, situasi itu sekali gus mencatatkan sejarah baharu yang tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal DUN sebelum ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar ke-14 di hadapan Sultan Nazrin.

Pelantikan Saarani adalah susulan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga ADUN Chenderiang pada 5 Disember lalu, selepas beliau gagal mendapat sokongan menerusi usul ‘keyakinan majoriti ahli dewan terhadap Menteri Besar’ sehari sebelum itu.

Kesal dengan kemelut politik di negeri itu, Muhammad Lukman berkata, ADUN yang sepatutnya berkhidmat untuk rakyat, sebaliknya mengetepikan mandat demi kepentingan parti dan individu masing-masing.

Lebih malang lagi, katanya, situasi genting itu berlaku tatkala negara dan dunia sedang bergelut dengan gelombang ketiga COVID-19 serta kemelesetan ekonomi yang mendesak.

“Jika ahli-ahli politik ini sibuk berebut kuasa dan saling jatuh menjatuhkan antara satu sama lain, bila masa yang akan diperuntukkan untuk fokus program kebajikan dan pembangunan negeri.

“Isu kemiskinan tegar, pembangunan kawasan luar bandar, pendapatan kerajaan negeri yang semakin merosot serta pembangunan infrastruktur di Perak siapa yang nak urus?

“Itu belum dikira isu tanah dan pelbagai salah laku yang berlaku dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button