Berita Utama

Berpolitik tak kira waktu, nilai semula mandat pemimpin di PRU15

Patut bekerja siang malam untuk rakyat, bukan sibuk ‘lobi’ jawatan

BANGI, 25 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Rakyat perlu menilai semula wajah-wajah pemimpin yang sentiasa berpolitik tanpa sempadan waktu sehingga membawa kepada kemelut di negeri Perak.

Ini kerana pemimpin yang tidak ikhlas berjuang akan sentiasa mencari peluang untuk mendapatkan kuasa demi habuan peribadi mereka.

Justeru, rakyat perlu bijak memilih pemimpin Melayu yang ikhlas berjuang, kata Ketua Angkatan Pemuda Pemudi BERJASA (ANGKASA) Perak, Azizat Zainal.

“Dalam keadaan krisis ekonomi dan kesihatan yang belum pulih ini, sebahagian pemimpin Melayu kita masih lagi sibuk bertelagah untuk mendapatkan jawatan dan melobi jawatan kepada anak-anak buah mereka.

“Mereka lebih sibuk mencari jawatan daripada sibuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat,” katanya hari ini.

Beliau berkata, pemimpin yang dipilih sepatutnya bekerja siang malam membantu rakyat dan bukannya sibuk mengejar jawatan serta habuan untuk parti.

“Rakyat akan terus kecewa dengan sikap mereka ini yang mempermainkan mandat yang telah diberikan oleh rakyat.

“PRU15 nanti, kita minta rakyat menilai semula wajah-wajah pemimpin ini yang telah sentiasa berpolitik tanpa sempadan waktu,” katanya.

Azizat berkata demikian mengulas titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah Muizzuddin Shah yang menyifatkan pelantikan kali ketiga jawatan Menteri Besar sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bukan perkara dibanggakan kerana tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan.

Baginda bertitah, situasi itu sekali gus mencatatkan sejarah baharu yang tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar ke-14 di hadapan Sultan Nazrin.

Pelantikan Saarani adalah susulan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga ADUN Chenderiang pada 5 Disember lalu, selepas beliau gagal mendapat sokongan menerusi usul ‘keyakinan majoriti ahli dewan terhadap Menteri bBesar’ sehari sebelum itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button