COVID-19: 1,810 kes baharu hari ini
Ia jadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini mencecah 80,309

KUALA LUMPUR, 25 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Kes baharu jangkitan COVID-19 di Malaysia kekal empat digit dengan mencatatkan 1,810 kes hari ini dengan enam lagi kematian, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini mencecah 80,309 kes dengan jumlah kes aktif 12,734, manakala jumlah maut akibat pandemik itu setakat ini ialah 402 orang.
“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 11 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah 1,799 kes,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan situasi COVID-19 terkini di sini hari ini.
Memperincikan lanjut, Dr Noor Hisham berkata Selangor masih melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 829 kes, diikuti Sabah sebanyak 532 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 132 kes.
Manakala jumlah sembuh ialah 937 kes menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 67,173 kes dan sehingga kini, terdapat 123 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 63 kes memerlukan bantuan pernafasan, katanya. – Bernama