Berita Utama

Damba nikmat politik, apakah ini dicari pemimpin dalam kehidupan?

Kehidupan sempit kerana jauh daripada hidayah

BANGI, 25 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Masalah demi masalah dalam dunia politik negara menimbulkan tanda tanya apakah ini yang dicari para pemimpin dalam menuju kehidupan abadi.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman mempersoalkan, apakah mereka faham akan hakikat kehidupan yang sebenar?

Beliau menyifatkan, masyarakat kini hidup tanpa pedoman apabila dipimpin oleh mereka yang jauh daripada hidayah sehingga membawa kesesatan dan kesempitan. 

“Di tengah-tengah hiruk-pikuk politik negara, pemerintah silih berganti, janji manis bertaburan dicampak di sana di sini, adakah anda terfikir sama ada mereka-mereka ini yang diangkat sebagai pemimpin itu faham tentang erti kehidupan atau mampu membawa kita ke jalan kebahagiaan?

“Atau mereka pun hanyut dalam kesesatan, tenggelam dalam fatamorgana bahkan sebenarnya telah menjauhkan kita dari hidayah?,” soalnya dalam kenyataan ringkas, hari ini.

Beliau berkata, ramai yang lupa mengenai hidayah yang perlu mereka cari, iaitu kebahagiaan sebenar yang dikejar dan erti hidup yang diimpikan.

“Hidup kini tanpa pedoman dipimpin oleh mereka (pemimpin) yang jauh daripada hidayah dan membawa kita semua kepada kesesatan dan penghidupan sempit,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas situasi politik semasa negara yang berterusan tidak stabil selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ini susulan kemelut politik yang tidak berkesudahan sejak pemerintahan Pakatan Harapan (PH) tumbang angkara tindakan pemimpinnya sendiri, selain isu perebutan kuasa di peringkat pusat dan negeri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button