Dedah sisi buruk amalan rasuah sejak daripada tadika
Rasuah berlaku disebabkan kurang kefahaman tugas, ilmu agama

BANGI, 25 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Kefahaman terhadap jenayah rasuah perlu didedahkan kepada generasi muda, saran Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, ini termasuk sejak di taman didikan kanak-kanak (tadika) dan sekolah rendah yang seterusnya berlanjutan hingga sekolah menengah serta universiti.
Mohammad Shatar berkata, kefahaman itu sebaiknya diberi dalam pendedahan berbentuk aktiviti atau pun projek berkaitan antirasuah.
Beliau berkata, apabila kefahaman terhadap integriti dan perasaan benci rasuah dapat menyerap jauh ke dalam diri, ia akan memberi kesedaran kepada mereka terhadap risiko serta implikasi rasuah.
Jelasnya lagi, apabila kesedaran itu berpotensi menjadi budaya, mereka tidak akan terbabit secara langsung mahupun tidak langsung dengan jenayah itu ketika meningkat dewasa.
“Ia sama seperti diterapkan masyarakat Jepun terhadap kebersihan yang bermula sejak kecil dan prasekolah hingga universiti. Apabila mereka dewasa, sifat mementingkan kebersihan sudah sebati diri dengan mereka.
“Kita juga berharap semua rakyat Malaysia bersama-sama dan berganding bahu memerangi rasuah dengan melaksanakan apa sahaja yang termampu demi kemakmuran, moral dan maruah negara tercinta,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, jenayah rasuah berlaku disebabkan kurangnya kefahaman terhadap tugas yang diamanahkan.
Memberi contoh penjawat awam, beliau berkata, mereka telah menandatangani surat aku janji yang mempertanggungjawabkan sesuatu tugas tertakhluk kepada peraturan dan undang-undang yang telah dipersetujui.
Melalui surat itu, katanya, ini bermakna mereka memahami had batasan tugas yang boleh mengelakkan terjerumus ke dalam kancah rasuah.
Pada masa sama, beliau berkata, individu terbabit rasuah membuktikan bahawa mereka tiada sifat keikhlasan dan integriti dalam melaksanakan tanggungjawab.
Katanya, tanpa sifat integriti, individu atau pihak yang terbabit dengan rasuah tidak melakukan tugas seperti diamanahkan.
“Justeru, hanya mereka yang memiliki integriti sahaja yang mampu mengelakkan diri daripada gejala rasuah. Malah, mereka juga tidak memiliki empati terhadap orang lain apabila sanggup mendapatkan sesuatu hingga menyebabkan orang lain tidak mendapat peluang atau hak.
“Sebagai contoh, orang yang memotong barisan untuk mendapat sesuatu kerana ada kenalan tentu menyebabkan mereka yang mengikut peraturan akan rasa terhina kerana tiada hubung kait dengan pihak yang berautoriti di tempat berkenaan.
“Mereka yang melanggar peraturan atau prosedur dengan rasuah dan salah guna kuasa tidak pernah meletakkan diri mereka dalam situasi sedemikian sebagai mangsa rasuah,” katanya.
Tambahnya, jenayah rasuah juga berleluasa akibat kurang ilmu dan penghayatan agama.
Ujarnya, setiap agama tidak membenarkan rasuah kerana jenayah itu akan menimbulkan diskriminasi hebat.
“Jadi, ketaatan kepada agama pasti akan menghindarkan seseorang daripada melakukan perbuatan tidak sihat ini,” katanya.