Berita Utama

Longgar PKPB: Perketat kawalan kendiri elak risiko jangkitan COVID-19

Belum ada petanda wabak reda walaupun kerajaan longgar pergerakan

BANGI, 25 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Perketatkan kawalan kendiri bagi mengelakkan risiko terdedah kepada jangkitan pandemik COVID-19.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi langkah pencegahan dan peka dengan situasi semasa wabak di negara ini.

Apatah lagi, tiada petanda gelombang baharu COVID-19 akan reda meskipun kerajaan telah melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menerusi kebenaran merentas negeri dan daerah sejak 7 Disember lalu.

“Memandangkan kerajaan telah melonggarkan pergerakan dalam keadaan wabak COVID-19 belum ada petanda nak reda, saya ingin berpesan kepada rakan-rakan semua agar memperketatkan kawalan kendiri agar kita dapat mengelakkan diri dan keluarga dari terdedah kepada jangkitan,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.

Sabtu lalu, kerajaan mengumumkan penamatan PKPB secara berperingkat di beberapa kawasan termasuk memberi kelonggaran merentas negeri dan daerah di seluruh negara.

Menteri Kanan (Kluster Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, orang ramai dibenarkan melakukan perjalanan antara negeri mulai 7 Disember, kecuali kawasan yang dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD).

Setakat semalam, Malaysia merekodkan kes jangkitan harian tertinggi sepanjang pandemik iaitu 2,234 kes.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan kes kumulatif COVID-19 kini, sebanyak 78,499 kes dengan aktif meningkat 11,867 kes.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button