Dunia

Israel sekat hampir semua bantuan kemanusiaan ke Gaza

Penyelaras kemanusiaan PBB bincang penubuhan koridor maritim ke Gaza

GENEVA, 25 Rejab 1445H, Selasa – Rejim pengganas Israel menafikan akses kepada lebih separuh penghantaran bantuan kemanusiaan yang menuju ke utara Gaza pada bulan Januari.

Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric berkata, hanya 10 daripada 61 misi bantuan kemanusiaan yang dirancang untuk utara Gaza telah dibenarkan oleh pihak berkuasa Israel.

Katanya, dua daripada 51 baki penghantaran pula dibenarkan masuk secara separuh dan 34 lagi telah dinafikan aksesnya sama sekali, sementara enam ditangguhkan oleh kumpulan bantuan kerana isu operasi dalaman.

“Kebanyakan misi bantuan yang dibenarkan mengandungi bekalan makanan untuk kawasan yang dikepung.

“Misi yang bertujuan menyokong hospital utara Gaza, kemudahan sanitasi air dan perkhidmatan kebersihan lain sebahagian besarnya masih dinafikan,” kata Dujarric.

Hanya 13 daripada 36 hospital di Gaza yang masih berfungsi dan tidak menjalankan operasi secara menyeluruh, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Penyelaras kemanusiaan PBB untuk Gaza, Sigrid Kaag membincangkan kemungkinan penubuhan koridor maritim ke Gaza, ketika mesyuarat selesai dalam pentadbiran Cyprus Greek,” katanya Dujarric tanpa memberi butiran lanjut perkara itu.

Sekurang-kurangnya 27,478 rakyat Palestin terbunuh dan 66,835 lagi cedera dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak perang bermula hampir empat bulan lalu.

Peperangan itu membawa kepada kemusnahan meluas di Gaza, di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan ketika Israel terus menyekat penghantaran bantuan.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button