Berita Utama

Terus tekan Israel! Palestin mahu Sepanyol iktiraf sebagai negara

Segala bentuk politik mesti bertujuan akhiri pendudukan Israel

RAMALLAH, 25 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh hari ini menggesa Sepanyol mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, bagi memberi tindak balas terhadap Israel yang membina penempatan haram dan merampas tanah negara itu secara berterusan.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika beliau menerima kunjungan Menteri Luar Negeri Sepanyol, Arancha González Laya di pejabatnya di sini.

Dalam pertemuan itu, mereka membincangkan peranan dan potensi Sepanyol dalam menghidupkan kembali proses perdamaian politik berdasarkan resolusi serta kerangka kerja antarabangsa.

“Bagi Palestin, segala bentuk politik mestilah bertujuan mengakhiri pendudukan (Israel) dan menubuhkan negara Palestin berdasarkan garis sempadan pra 1967.

“Setiap peluang politik harus dilaburkan bagi mencapai penyelesaian yang telah berlangsung selama 30 tahun.

“Kita harus berusaha memastikan tiada persidangan baharu melainkan politik antarabangsa yang membuka peluang menamatkan penjajahan dan menubuhkan negara Palestin,” kata Mohammad.

Sementara itu, Laya menekankan bahawa perlunya jalan keluar dan meletakkan keperluan politik bagi memulakan kembali rundingan.

Beliau berkata, Sepanyol berminat untuk menyokong usaha-usaha membangunkan kembali kepercayaan antara Palestin dan Israel.

Katanya, Sepanyol juga mempunyai komitmen untuk memberi sokongan kepada kedua-dua negara mencapai penyelesaian. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button