Berita UtamaDunia

Tiada kesudahan! Israel bina rumah bergerak pula di tanah Palestin

Rumah didirikan di atas bukit bersebelahan penempatan haram

HEBRON, 25 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Penduduk haram Israel hari ini mendirikan rumah bergerak di tanah Palestin di kampung al-Baq’a, di timur kota Hebron.

Agensi berita WAFA melaporkan, rumah berkenaan didirikan di atas bukit yang terletak bersebelahan dengan penempatan haram Qiryat Arba.

Pemilik bukit itu, Aref Jabar kehilangan sebahagian besar tanah seluas 50 donum (5 hektar), di mana penduduk Yahudi berusaha merampasnya bagi mendirikan penempatan haram.

Terletak secara mendatar kira-kira empat kilometer di sebelah timur Hebron dan memiliki ketinggian 915 meter dari permukaan laut, kampung al-Baq’a mempunyai penduduk sekitar 1,500 orang.

Majoriti penduduk kampung itu bergantung kepada hasil pertanian dan penternakan sebagai sumber pendapatan.

Rejim pengganas Israel telah merampas sekurang-kurangnya 1,500 donum (150 hektar) ketika Intifada kedua,

600 donum (60 hektar) daripada keluasan itu digunakan bagi pembinaan tembok pemisah Israel.

Malah, pembinaan tembok itu mengakibatkan rampasan 100 donum (10 hektar) lagi tanah Palestin selain pemusnahan kira-kira 2,000 pokok.

Kawasan perkampungan ini dikepung oleh tiga penempatan haram Israel iaitu Qiryat Arba di selatan, Ramat Mamre (Kharsine) di sebelah barat dan Qiryat Lima di barat laut. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button