Berita Utama

COVID-19: 1,937 kes baharu hari ini

9 kematian turut dicatat jadikan jumlah keseluruhan 411 orang

KUALA LUMPUR, 26 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Malaysia terus mencatat empat digit kes harian baharu COVID-19 apabila 1,937 kes direkodkan hari ini dengan sembilan lagi kematian, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara kini mencecah 82,246 kes dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan adalah 13,751, manakala jumlah maut akibat pandemik itu setakat ini ialah 411 orang.

“Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,935 kes,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan terkini situasi COVID-19, di sini hari ini.

Beliau berkata Selangor masih melaporkan kes harian paling tinggi iaitu sebanyak 823 kes dengan 714 kes adalah daripada kluster dan aktiviti saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang giat dijalankan di lapangan, diikuti Sabah (429 kes) dan Kuala Lumpur (238 kes).

Sementara itu menurutnya, jumlah sembuh ialah 911 kes menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 68,084 kes dan sehingga kini, terdapat 121 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 66 kes memerlukan bantuan pernafasan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button