Berita Utama

Jadi alat politik? Netizen Cina kritik filem karya Namewee

Filem penyanyi rap kontroversi dipercayai ada unsur perkauman

BANGI, 26 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Filem individu kontroversi Wee Meng Chee atau Namewee bertajuk ‘Babi’ yang ditayangkan di luar negara menerima kritikan hebat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Filem kontroversi yang dipercayai mempunyai unsur perkauman itu bukan hanya dikritik orang Melayu malah pengguna media sosial berbangsa Cina.

Menerusi petikan berita di Facebook Malaysia Sin Chew Daily pada 19 November lalu, Namawee mendakwa filemnya menerima empat anugerah di ‘National Film Festival’ namun ditentang bahkan dibuat laporan polis oleh pihak yang dilabelnya sebagai ‘pelampau’ di negara sendiri.

Tinjauan Ismaweb.net di ruangan komen laman Facebook berkenaan, menunjukkan rata-rata netizen Cina mengkritik filem arahan penyanyi rap berasal dari Pulau Pinang itu.

“Kalau tak suka, baliklah ke Taiwan jadi rakyat sana, Malaysia pun tak mahu kamu,” tulis Steve Loh.

“Kalau dia sedang mencerminkan kerajaan Malaysia, tiada apa yang boleh saya katakan, tapi ini lain, isu yang dicerminkan adalah sifat perkauman orang Melayu terhadap orang Cina yang tidak patut kita sokong,” kata Jason Wong.

Jason berkata, Namewee sememangnya sudah lama tidak senang dengan orang Melayu.

“Tolong jangan jadi sepertinya, jangan campur adukkan politik dengan hal lain. Masyarakat Melayu adalah kawan kita. Namewee dah menjadi alat orang politik Taiwan,” katanya.

Turut senada, Ambrose Phong menyelar mana-mana golongan muda yang masih menyokong karya Namewee, dan mengharapkan dia tidak lagi berada di Malaysia.

“Tolong jangan cakap dia bersuara bagi pihak orang Cina, tindakan Namewee selama ini pun hanya mengapikan kebencian antara kaum, kemudian mencipta imej dirinya seorang hebat.

“Selain orang politik, sebenarnya ramai orang Melayu yang masih boleh hidup harmoni dengan kita, sebelum PKP kawan-kawan Melayu telah menjemput kami ke kenduri perkahwinan mereka, keluarga dan sahabat mereka melayan kami dengan baik,” tulis Oscar Su.

Sebelum ini, Persatuan Seniman membuat laporan polis terhadap filem ‘Babi’ kerana dipercayai mempunyai unsur perkauman dan didakwa menjejaskan imej Malaysia.

Filem berkenaan didakwa mengisahkan mengenai kejadian sebenar keganasan dan rusuhan kaum yang berlaku di sebuah sekolah menengah di selatan tanah air pada tahun 2000.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button