Berita Utama

JPA saran penjawat awam lapor salah laku di agensi masing-masing

Ketua jabatan perlu pandang serius isu ketirisan, salah guna kuasa

BANGI, 26 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Penjawat awam digalakkan tampil melaporkan sebarang salah laku di kementerian, jabatan atau agensi masing-masing dalam usaha membendung ketirisan dan penyalahgunaan kuasa.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, pemberi maklumat mempunyai pelbagai saluran untuk menyampaikan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Unit Integriti di setiap jabatan masing-masing.

Beliau berkata, maklumat pelapor dirahsiakan dan diberi jaminan bahawa semua butiran yang diberikan kepada pihak berkuasa akan dilindungi dan hak keselamatan mereka terjaga mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009.

“Semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (1993)(P.U.A 395/1993) dan sebarang pelanggaran kepada mana-mana peraturan termasuk tidak melaporkan salah laku pegawai boleh dikenakan tindakan tatatertib.

“Pihak JPA menegaskan agar semua Ketua Jabatan memandang serius mengenai hal ini dan sentiasa memastikn sebarang ketirisan dan penyalahgunaan kuasa tidak berlaku di semua peringkat dalam kementerian, agensi atau jabatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai memberi pandangan dan ulasan berkaitan isu yang dilaporkan media mengenai tekanan yang diterima oleh penjawat awam dalam aktiviti rasuah di organisasi masing-masing.

Mengulas lanjut, Mohd Khairul berkata, kerajaan sememangnya memandang serius mengenai sebarang salah laku yang membabitkan penjawat awam.

“Pihak JPA mengucapkan syabas dan tahniah kepada penjawat awam yang berani tampil ke hadapan bagi membendung salah laku tersebut.

“Ini menunjukkan merka mempunyai integriti yang sangat tinggi dan boleh menjadi contoh kepada penjawat awam yang lain.

“JPA juga ingin mengucapkan tahniah kepada SPRM dan agensi penguatkuasa atas tindakan proaktif dan berterusan bagi memastikan amalan rasuah dibanteras secara menyeluruh seterusnya dapat meningkatkan integriti dan tadbir urus yang baik dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button