Berita Utama

KPDNHEP rampas minyak wangi tiruan bernilai RM1.76 juta

Kementerian beri amaran hormati harta intelek orang lain

BANGI, 26 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 33,272 unit minyak wangi berjenama tiruan dianggarkan bernilai RM1,762,800.

Tindakan itu dibuat dalam satu operasi membanteras penjualan barang-barang tiruan yang dijalankan di sebuah bangunan Jalan Lim, off Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Serbuan yang dilakukan adalah hasil daripada risikan selama hampir dua bulan oleh Unit Risikan Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP.

Pengarahnya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, enam premis yang disewa oleh seorang individu telah dijadikan tempat penyimpanan stok-stok minyak wangi tiruan pelbagai jenama.

“Semasa serbuan, kerja-kerja pembungkusan minyak wangi ke dalam kotak berjenama bagi tujuan pengedaran sedang dijalankan oleh pekerja di dalam premis tersebut.

“Seorang wanita dan seorang lelaki masing-masing berumur 37 tahun dan 43 tahun yang mengaku bertanggungjawab telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Iskandar berkata, berdasarkan keterangan, barangan tiruan terbabit diperolehi dari China dan akan diedarkan kepada pemborong-pemborong di sekitar Lembah Klang serta melalui jualan dalam talian setelah proses pembungkusan.

“Pemeriksaan hasil serbuan mendapati barang-barang tiruan tersebut merupakan sejumlah 33,272 unit minyak wangi pelbagai jenama seperti Burberry, Gucci, Victoria Secret, Tommy, DKNY, Jo Malone, Michael Kors dan pelbagai jenama lain yang disyaki suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

“Dengan ini pemilik premis disyaki telah melakukan suatu kesalahan di bawah ACD 2019,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengn salah.

Katanya, jika sabit kesalahan seseorang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.

“Bahagian Penguatkuasa memberi amaran kepada individu atau syarikat tersebut agar lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain.

“Mana-mana individu mahupun syarikat yang melanggar undang-undang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button