Berita UtamaDunia

Suami dibunuh, balu Rohingya tuntut pampasan dari Myanmar

Minta ganti rugi RM8.1 juta atas kekejaman pihak tentera

GENEVA, 26 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Seorang balu etnik Islam Rohingya meminta ganti rugi AS$2 juta (RM8.1 juta) atas kematian suaminya yang dibunuh oleh tentera kerajaan pada 2017 di Myanmar barat, kata peguam.

Legal Action Worldwide (LAW) dan firma undang-undang antarabangsa McDermott Will dan Emery berkata, mereka mengemukakan aduan pada Khamis, dengan suruhanjaya hak asasi manusia Myanmar atas nama Setara Begum, isteri kepada Shoket Ullah yang terbunuh di kampung Inn Din di Rakhine.

“Tuntutan itu adalah aduan pertama berkaitan dengan Rohingya yang dikenali telah diajukan menerusi suruhanjaya hak asasi manusia Myanmar,” kata LAW – pertubuhan tidak berasaskan keuntungan yang berpusat di Geneva.

Wakil suruhanjaya hak asasi manusia tidak tersedia untuk memberi komen ketika dihubungi oleh Reuters dan jurucakap kerajaan tidak membalas e-mel yang meminta komen atau menjawab panggilan telefon.

Suami Begum, Shoket Ullah merupakan seorang nelayan berusia 35 tahun adalah antara 11 orang yang dibunuh oleh tentera dan penduduk kampung telah dikebumikan pada September 2017.

Tentera Myanmar berkata, mereka menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun kepada tentera yang bertanggungjawab atas pembunuhan itu, namun mereka dibebaskan kurang dari satu tahun.

“Suami saya terbunuh dan Myanmar telah membiarkan tentera yang melakukan perkara itu bebas.

“Saya mencari keadilan untuk suami saya dan semua Rohingya, yang menghadapi banyak masalah serupa,” kata Begum dalam satu kenyataan.

Lebih daripada 730,000 warga Rohingya dihalau ke negara jiran Bangladesh ketika kempen ketenteraan pada 2017 yang dikatakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaksanakan dengan niat genosid.

Myanmar menghadapi tuduhan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa meluluskan siasatan berhubung jenayah terhadap kemanusiaan.

Myanmar membantah tuduhan itu dan mendakwa tentera menjalankan operasi keselamatan yang sah terhadap militan yang menyerang pos polis. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button