Berita Utama

Sudah cukup SD? Anwar dikhabar bakal menghadap Agong

Usaha itu akan cuba digerakkan sebelum Dewan Rakyat tamat

BANGI, 26 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat masih belum mahu mengalah untuk mengambil alih tampuk pemerintah negara.

Ini selepas laporan terbaharu mendakwa, Ahli Parlimen Port Dickson itu dikhabarkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tujuan utama pemimpin veteran itu menghadap adalah untuk mempersembahkan bukti bahawa beliau kini mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi daripada kalangan ahli Dewan Rakyat.

Menurut laporan Astro Awani, Anwar dikatakan sudah mempunyai 113 sokongan dalam bentuk akuan bersumpah (SD).

“Bagaimanapun ia tertakluk kepada jadual tuanku baginda,” kata sumber itu.

Perkembangan terbaharu itu juga menyaksikan Anwar yang juga Ketua Pembangkang sekali lagi mempunyai peluang untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, seorang pegawai menteri memberitahu, usaha terbaharu Anwar itu bukan sekadar khabar angin.

“Dengarnya usul itu akan cuba digerakkan sebelum Dewan Rakyat tamat pada Khamis depan (17 Disember 2020).

“Berkemungkinan Anwar akan umum perkara ini esok atau lusa. Tetapi kami dengar ia akan berlaku sewaktu ‘3rd reading Budget’ (Bacaan Kali Ketiga Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021), hari Selasa. Heard this time with SDs (kali ini dengan SD),” katanya.

Pada September lalu, Anwar mendakwa dirinya sudah mempunyai jumlah sokongan yang disifatkan ‘kukuh dan meyakinkan’ untuk menjadi Perdana Menteri baharu.

Justeru, pada 13 Oktober lalu, Anwar diperkenan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara dan telah mempersembahkan dokumen yang didakwa mengandungi butiran sokongan majoriti ahli Parlimen yang diperlukan.

Bagaimanapun, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan sebaik selesai sesi menghadap itu berkata, Anwar tidak mempersembahkan senarai nama ahli-ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button