Berita Utama

UMNO hadapi polemik baharu jika bekerjasama dengan PH

'Terutamanya berhubung dasar, desakan daripada pembangkang'

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 26 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Kemelut politik di Perak dapat diselesaikan secara muafakat dengan mengambil kira semua faktor melibatkan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.

Langkah itu dipercayai akan mewujudkan kematangan politik yang mana kerajaan negeri tidak memfokuskan kepentingan parti tetapi bertugas untuk memastikan kelestarian budaya demokrasi rakyat dan negeri terpelihara.

Pemerhati politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff menegaskan, polemik politik di Perak baru-baru ini mencabar kematangan sistem politik dalam kalangan parti dan bukan daripada kalangan rakyat.

Dalam erti lain katanya, cadangan kerjasama yang hendak dibuat oleh UMNO sebelum ini untuk mewujudkan kerajaan campuran di Perak bersama parti pembangkang adalah suatu langkah terakhir sekiranya kegagalan kompromi dengan parti pro kerajaan seperti BERSATU dan PAS.

“Sekiranya kegagalan kompromi itu berlaku, pembentukan kerajaan negeri akan mengambil kira gabungan bersama parti-parti pembangkang yang akan menubuhkan kerajaan campuran.

“Hal ini akan menyebabkan kerajaan yang diterajui oleh UMNO akan menghadapi konflik dan polemik baharu, terutamanya berhubung dengan dasar dan desakan daripada parti-parti pembangkang yang menyertai kerajaan negeri,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Tidak menolak kemungkinan sekiranya wujud kerajaan campuran pada masa akan datang, Syed Agil menegaskan bahawa apa yang penting adalah perjuangan rakyat, agama serta bangsa.

“Mungkin ia tak berlaku hari ini tapi hari esok mungkin berlaku jika tak dapat dielakkan. Bagaimanapun yang penting perjuangan rakyat, bangsa dan agama harus diperjuangkan bukan kepentingan parti semata-mata.

“Kuasa sultan pula meneliti dan memastikan dasar kerajaan negeri tidak membelakangkan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu. Itu yang penting,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar ke-14 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah Muizzuddin Shah.

Pelantikan Saarani adalah susulan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga ADUN Chenderiang pada 5 Disember lalu, selepas beliau gagal mendapat sokongan menerusi usul ‘keyakinan majoriti ahli dewan terhadap Menteri Besar’ sehari sebelum itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button