Berita Utama

UMNO tawar jawatan Exco kepada PAN, PKR bentuk kerajaan di Perak?

Kor Ming dakwa UMNO berbincang dengan PH sehingga larut malam

BANGI, 26 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Jawatan Exco Kerajaan Negeri Perak kepada Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR antara yang ditawarkan UMNO sekiranya dua parti itu sedia membentuk kerajaan bersama mereka.

Bagaimanapun, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mendedahkan tawaran tersebut tidak diterima oleh Pakatan Harapan (PH) Perak kerana mengetepikan DAP sebagai salah sebuah parti gabungan.

Katanya, tawaran itu dibuat bagi membentuk kerajaan bersama selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS tidak memberikan sebarang kata putus.

“Semasa rundingan dibuat, UMNO telah membuat beberapa tawaran termasuklah jawatan Exco kepada PKR dan Amanah tetapi tidak kepada DAP. Sekiranya tawaran ini diterima, persepakatan ini akan tergugat dan PH Perak akan musnah.

“Disebabkan itu, PH Perak tetap tegas dengan pendiriannya dan memberitahu UMNO bahawa PH akan berdiri sebagai satu blok. Kita hanya bersetuju jika ketiga-tiga pihak disertakan bersama,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Kor Ming berkata, untuk menyelesaikan kebuntuan dalam pembentukan kerajaan baharu di Perak, DAP negeri mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu bersedia bersama UMNO dengan syarat kerajaan gabungan baharu itu perlulah berlandaskan integriti, pemerintahan yang baik dan tanpa berkompromi dengan prinsip parti.

Katanya, kenyataan itu dikeluarkan selaras dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Presiden PH bahawa mereka bersedia membentuk kerajaan dengan UMNO untuk kesejahteraan rakyat.

“Oleh itu, rundingan berterusan antara kedua-dua PH dan UMNO dibuat sehingga larut malam, namun tiada persetujuan yang dicapai kerana UMNO tidak dapat menerima terma dan syarat ditetapkan oleh PH.

“Disebabkan kedua-dua pihak tidak dapat mencapai kesepakatan, UMNO kemudian kembali kepada Bersatu dan PAS untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu,” katanya.

Sebelum ini, DAP memutuskan untuk menjalin kerjasama dengan UMNO di Perak, bagi membentuk kerajaan berbilang kaum yang bersih, kukuh dan stabil.

Keputusan berkenaan dikatakan mengambil kira situasi di negeri itu yang tiada satu parti mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan yang stabil, selepas menteri besar sebelum ini, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, hilang keyakinan majoriti dan kemudiannya mengumumkan peletakan jawatan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button