Berita UtamaDunia

Lubnan dakwa Zionis guna fosforus putih

Mahu kemuka aduan pada PBB desak kecam serangan Israel

BEIRUT, 17 Rabiulakhir 1445H, Rabu – Lubnan akan menfailkan aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas mendakwa rejim pengganas Israel menggunakan fosforus putih dalam serangan ke atas negara itu.

Kumpulan hak asasi manusia dan pegawai Lubnan berulang kali menuduh Israel menggunakan senjata itu, yang boleh menyebabkan kulit melecur jika terkena manusia — dakwaan yang dinafikan Israel sebelum ini.

“Saya mengarahkan misi Lubnan ke PBB untuk mengemukakan aduan baharu kepada Majlis Keselamatan bagi mengecam penggunaan fosforus putih oleh Israel dalam serangan berulang ke atas Lubnan,” kata Menteri Luar Lubnan, Abdallah Bou Habib.

Dalam satu kenyataan, beliau turut menuduh Israel sengaja membakar belukar dan hutan Lubnan.

Sejak Hamas melancarkan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dari Semenanjung Gaza pada 7 Oktober, sempadan selatan Lubnan menyaksikan Israel saling berbalas tembakan dengam kumpulan Hizbullah yang disokong Iran, sekutu Hamas.

Menurut pengiraan AFP, pertempuran itu membunuh sekurang-kurangnya 62 orang di Lubnan kebanyakannya pejuang Hizbullah serta empat orang awam, termasuk seorang wartawan Reuters.

Israel berkata, lapan orang terbunuh termasuk tentera dan orang awam.

Serangan Israel juga menyebabkan kebun zaitun dan tanaman hijau terbakar di kawasan sempadan, dengan sekurang-kurangnya satu kebakaran masih marak di selatan Lubnan, semalam.

Menteri Pertanian, Abbas Al Hajj Hassan berkata, serangan fosforus putih Israel membakar 40,000 pokok zaitun di selatan Lubnan.

Dalam tinjauan awal, kementeriannya mendapati kira-kira 128 kebakaran berpunca daripada pengeboman fosforus musuh Israel di wilayah itu.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button