Berita UtamaIstimewa

Rakyat mahu penceroboh tanah haram terima hukuman setimpal

Nanti keputusan 23 Disember, harap tidak ditangguh lagi

BANGI, 27 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Penangguhan keputusan kes pencerobohan tanah kerajaan di Raub, Pahang mengundang rasa kecewa rakyat yang prihatin terhadap tanah air dan berpegang teguh dengan Rukun Negara.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuantan menangguhkan keputusan yang sepatutnya diputuskan Rabu lalu berhubung permohonan pendengaran kes semakan kehakiman difailkan 110 pekebun haram bagi mengetepikan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang terhadap mereka.

Penangguhan dibuat Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz bagi membolehkan pihak responden dan plantif menyelesaikan pengurusan kes.

Zainal Azman berkata, penangguhan juga bagi membolehkan pihak mahkamah meneliti afidavit baharu yang dikemukakan pihak plaintif pada minggu lalu, untuk mengguna pakai keputusan yang sama terhadap satu lagi permohonan difailkan 94 lagi pekebun durian di Raub.

Ini menjadikan keseluruhan sebanyak 204 pekebun memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), kerajaan Pahang.

Ia termasuk Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), Royal Pahang Resources PKPP Sdn Bhd dan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang.

Dengan perkembangan terbaharu ini, Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuantan, Ustaz Norman Mohd Nor berharap tidak akan ada penangguhan keputusan lagi selepas 23 Disember ini.

Beliau kesal apabila kes yang cukup jelas dan mempunyai kepentingan awam perlu diselesaikan segera ditangguhkan pada saat-saat akhir.

“Keputusan kes yang dijadualkan pada 9 Disember telah ditangguhkan ke tarikh baru. Kita harap pada tarikh itu nanti tidak ada lagi tarikh baru yang akan diberikan oleh pihak mahkamah Kuantan.

“Kalau berlaku juga penangguhan, ini membayangkan dua perkara, pertama, pihak mahkamah telah dipermainkan oleh pihak defendan.

“Kedua, kredibiliti hakim terlibat dalam meguruskan kes akan dipertikaikan oleh mata-mata yang memandang dengan penuh insaf,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau mengingatkan bahawa kes berkenaan menjadi tumpuan masyarakat umum dan pengamal undang-undang kerana mempunyai rujukan kes yang cukup kuat iaitu kes bekas tentera A Raman.

Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Taiping selepas didapati bersalah menceroboh Hutan Simpan Kekal Pondok Tanjung dekat Gunong Semanggol, Kerian, antara 8 Jun hingga 21 September 2014.

Sehubungan itu, Ustaz Norman membangkitkan persoalan sama ada dalam penghakiman kes yang serupa ini hukuman yang dijatuhkan berbeza.

“Apakah alasannya? Apakah ulasan para pengamal undang-undang nanti?

“Puas hatikah rakyat marhaen di Raub, Pahang? Apakah reaksi NGO-NGO pembela Melayu dan tanah air terhadap keputusan mahkamah nanti? Segalanya akan terjawab pada 23 Disember nanti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button